Friday, May 7, 2010

Bila tiba detik itu…1

“Aku terima nikahnya Nuril Ibtisam Ismail, dengan mas kahwinnya RM80.00 tunai.”

Sebentar tadi, dengan sekali lafaz dia sudah sah menjadi isteri buat seorang lelaki bernama Mohd. Sadiq Abdul Rahman. Lelaki yang dikenali tak sampai dua bulan. Lelaki yang diperkenalkan oleh bapa saudaranya.

Kata ayah, Sadiq anak kawan baiknya yang sudah sekian lama terpisah. Kata ayah lagi demi untuk merapatkan hubungan antara keluarga mereka dengan keluarga Sadiq, ayah dan Pakcik Rahman bersetuju menjodohkan mereka berdua. Anak ayah dan mak, Kak Nurul Sakinah seorang sahaja dan sudah berkahwin. Hanya dirinya sahaja yang tinggal untuk merealisasikan hajat mereka.

Siapalah dia untuk membantah hajat ayah dan mak. Rasa kasih untuk ayah dan mak tidak memungkinkan dia menolak hasrat tersebut. Ayah dan mak, biarpun cuma pak long dan mak longnya sahaja, namun baginya mereka berdualah pengganti mama dan papa yang telah pergi mendahuluinya.

Ayah, merupakan abang kandung papa. Mereka cuma dua beradik sahaja. Setelah kematian papa dan mama dalam kemalangan tragis, ayah dan mak mengambil alih tanggungjawab membesarkannya. Ayah dan maklah pengganti papa dan mama. Ayah dan maklah yang mengasuh dan membesarkannya sejak usianya 4 tahun hinggalah sekarang. Kini dia sudah pun menjadi anak gadis berusia 23 tahun.

Ayah dan mak tak pernah membezakan kasih sayang antara dia dengan Kak Sakinah. Apa yang Kak Sakinah dapat, pasti dia juga mendapatnya. Walaupun ayah cuma bekerja sebagai seorang guru sekolah rendah dan mak pula suri rumah, kehidupan mereka tetap berjalan dengan baik. Walau tidak semewah mana, tapi tidak juga kehidupan mereka melarat.

Arwah papa juga seorang guru, jadi adalah juga duit pencen peninggalan papa. Tapi ayah seboleh mungkin tidak menggunakan duit tersebut. Hanya setelah dia mula melanjutkan pelajaran barulah duit tersebut digunakan. Itu pun seboleh mungkin ayah cuba elakkan.

Jadi apalah sangat pengorbanan yang dilakukannya untuk ayah dan mak. Menerima calon pilihan mereka, biarpun entah bagaimanalah nasibnya nanti! Dan yang penting dia telah pun bersolat istikharah memohon petunjuk dari-Nya.

Majlis perkahwinannya telah selesai. Atas persetujuan bersama, kenduri kahwinnya sekadar kenduri doa selamat. Majlis akad nikah yang kemudiannya diiringi dengan jamuan makan. Tiada pelamin dan tidak ada majlis bersanding. Cukuplah selesai perkara wajib. Yang penting syariat terjaga. Memang penduduk kampung maklum dengan cara keluarga mereka. Dulu waktu Kak Sakinah juga begitu. Sesi bergambar pengantin juga ringkas, tidak ada sesi bersalin-salin baju. Cukuplah sekadar buat kenangan mereka.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan kini dia sudahpun bergelar seorang isteri. Isteri yang sedang menunggu suami di dalam kamar pengantin mereka. Bertemanakan Kak Sakinah dan juga Jamilah, sahabat baiknya. Kak Sakinah banyak memberi kata-kata nasihat. Nasihat agar dia menjadi isteri yang solehah. Semalam, mak juga memberi pesanan yang sama. Buat bekalnya memasuki alam baru.

“Assalamualaikum..”

Salam yang diberikan seiring dengan terbukanya pintu kamar mengejutkan mereka bertiga. Setelah salam dijawab Kak Sakinah dan Jamilah meminta diri untuk berlalu. Kejap terasa pelukan kakak dan sahabatnya itu, umpama memberi semangat untuk dirinya.

“Dah solat?” tanya Sadiq sambil berdiri di tepi katil sambil meletakkan sebuah beg kecil. Beg pakaiannya mungkin.

“Belum lagi.”

“Jom kita solat berjemaah.”

“Hmmm…” hanya itu yang mampu dilontarkan. Wajahnya kembali memerah. Malu sebenarnya tiba-tiba terpaksa berkongsi bilik dengan seorang lelaki.

“Saya masuk bilik air dulu,” ujarnya sambil bangun menuju ke almari. Tuala dan pakaian dikeluarkan dari almari lalu terus menuju ke bilik air.

Sadiq hanya memerhatikan gelagat isterinya yang kelihatan agak gelabah. Tersenyum dia sambil menggeleng kepala. Terasa letih setelah tadi sibuk melayani tetamu dan sahabatnya. Lalu tubuhnya dibaringkan di atas katil yang berhias indah itu. Kipas angin yang berputar memberi keselesaan buatnya. Matanya semakin layu.

Baru hendak terlelap tiba-tiba terdengar orang berdeham. Segera matanya terbuka semula. Nuril Ibtisam sudah siap berpakaian dan kini membentangkan sejadah ditepi katil.

Lalu segera dia bingkas bangun dan mencapai begnya. Di keluarkan tuala, kain pelekat dan juga sehelai baju melayu. Segera dia berlalu ke bilik air setelah baju melayu di letakkan di atas katil.

Nuril Ibtisam segera menyarung telekung apabila mendengar azan Maghrib berkumandang dari surau berhampiran dengan rumah mereka. Kemudian dia duduk di atas katil sementara menunggu Sadiq selesai mandi. Tak sampai 10 minit, pintu bilik air terbuka dan Sadiq melangkah keluar. Sadiq hanya memakai pelekat dan tubuhnya dibaluti tuala mandi. Segera pandangan mata dilarikan daripada menatap suaminya.

Sadiq berjalan perlahan menuju ke katil.
“Boleh hulurkan baju melayu tu?” ujarnya lembut.

Nuril segera menghulurkan baju yang pinta tanpa menoleh ke wajah suaminya. Kemudian terus dia melangkah ke atas sejadah. Sadiq tersenyum sendiri melihat tingkah isterinya itu. Lalu segera disarung baju melayu ke tubuhnya sebelum melangkah ke sejadah. Seketika kemudian pasangan itu pun melaksanakan kewajipan menghadap Allah SWT.

Sebaik salam diberi dan doa dilafaz, Sadiq menghadap wajah isteri yang baru dinikahinya. Tangan yang dihulurkan bersambut, lantas terasa kucupan dari bibir isteri. Dan sebagai balasan, dahi isteri dikucup lembut buat kali kedua hari itu. Merona merah wajah si isteri. Malu diperlakukan begitu biarpun sudah tiada batas haram lagi.

“Nuril, terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suami. Walaupun kita tak pernah kenal sebelum ni, tak mengapa. Insya-Allah kita ada masa sepanjang kehidupan ini untuk saling kenal mengenali. Abang terima Nuril seadanya dan abang harap Nuril terima abang seadanya juga. Terima kelebihan dan kekurangan abang.” Wajah isteri yang polos itu ditatapnya.

Entah mengapa terbit perasaan sayu mendengar luahan si suami. Terasa panas bibir matanya. Tanpa dapat ditahan, manik-manik jernih menuruni pipi yang licin bak telur dikupas itu.

Sadiq menggenggam erat tangan Nuril. Kemudian wajah yang menunduk itu didongakkan. Lalu diseka air mata yang menitis di pipi isterinya. Sekali lagi kucupannya singgah di dahi isterinya itu.

“Insya-Allah, bang. Nuril pun harap abang dapat terima diri Nuril seadanya. Kelebihan dan kelemahan Nuril. Moga Allah berkati perkahwinan kita,” ujarnya sambil menahan sendu.

Ketukan dipintu bilik mengejutkan pasangan mempelai itu. Seiring, kedengaran suara mak memanggil mereka. Untuk makan malam pastinya. Nuril segera bingkas bangun menuju ke pintu dan membukanya.

“Dah sudah solat? Kalau sudah, jom kita makan sama-sama,” mak bersuara sambil tersenyum manis.

“Sekejap lagi kami turun mak. Adik salin telekung sekejap. Nanti Adik turun dengan abang.”

Mak mengangguk sambil berlalu.

“Adik?” tiba-tiba Sadiq bersuara di belakangnya yang sedang membuka telekung.

Wajah putih bersih itu kembali memerah ditegur begitu.

“Hmmm..mak dengan ayah dan kak sakinah memang panggil Nuril adik,” ujarnya perlahan. Terasa malu pula ditegur begitu

“O..adik, takkan abang nak panggil adik pulak kan?” Sadiq makin galak mengusik.

Wajah yang sedia merah, itu bertambah merah.

“Dah lah, abang gurau je. Jomlah kita turun. Kesian dorang tunggu pengantin baru.”

Sempat lagi mengusik isteri yang sudah termalu itu!

5 comments:

Suhana Shahril said...

wah..crita baru.best..best..

angelseptember said...

cerita baru ke akak?
suke~~

Anonymous said...

wohaaa best!

akak said...

Ana..
a'ah citer baru...

Angel..suke ye? akak pun suka2 je tulis.

Jane..
tq for reading..dah masuk blog jane..menarik!

Blogger said...

As stated by Stanford Medical, It's indeed the ONLY reason this country's women live 10 years longer and weigh on average 19 KG less than we do.

(And realistically, it has absolutely NOTHING to do with genetics or some secret exercise and really, EVERYTHING around "how" they eat.)

P.S, What I said is "HOW", not "WHAT"...

Tap this link to determine if this little questionnaire can help you discover your true weight loss potential