Wednesday, March 10, 2010

Laman Tepi Kolam

“Abang Chik! Tunggulah Ira,” suara Ira sudah merengek-rengek memanggil Zahar. Cuaca panas, membuatkannya berasa letih. Sedang Zahar masih melajukan hayunan kakinya.

“Bang Cik, janganlah laju sangat. Ira letih ni. Dah la beg Ira berat. Panas pulak ni..” Ira masih lagi membebel sambil mengatur langkah. Zahar berpaling seketika ke arah Ira. Tanpa suara, beg sekolah Ira dicapai lalu digalasnya. Tahu benar dengan perangai manja Ira.

Ira anak bungsu daripada dua beradik. Anak Makngah Milah dan Pakngah Sani, jiran sebelah rumahnya. Muda dua tahun daripadanya. Ira bakal menduduki peperiksaan PMR manakala dia akan menduduki SPM hujung tahun nanti.

Memang mereka sangat rapat. Bahkan hubungan ibu bapanya, Mak Som dan Pak Ali, dengan ibu bapa Ira umpama adik beradik. Rumah Makngah Milah umpama rumah keduanya, begitu juga rumahnya ibarat rumah kedua Ira dan abang longnya Afiq. Afiq kini sedang menuntut di luar negara. Sebab itulah Ira semakin rapat dengan Zahar.

Entah mengapa kemanjaan Ira tidak pula membuatkan dia berasa jengkel dengan gadis itu. Malah cukup disenanginya. Mungkin kerana dia tiada adik perempuan. Mereka tiga beradik semua lelaki.

“Bangcik, Ira nak beli air kejap,” Ira sudahpun melencong ke kedai runcit Pak Tam. Peti sejuk dibuka dan sebotol kecil air mineral dicapai. Poket baju kurung diseluk lalu wang seringgit diberikan kepada Pak Tam. Tangannya segera membuka penutup botol dan air mineral yang sejuk digogok rakus. Tangannya menyeka peluh yang mengalir di dahi. Anak rambutnya juga sudah kelihatan lencun dengan peluh. Wajah gadis manis bertocang dua itu juga sudah merah dibakar mentari.

Zahar yang memerhatikan gelagat Ira menggeleng kepala. Ira hanya tersengih dan kemudian botol tersebut dihulur kepada Zahar. Zahar mengambilnya lalu diteguk perlahan air tersebut.

“Jom, cepat balik. Nanti Makngah bising. Abang ada kelas tambahan pula petang nanti,” Zahar segera melangkah. Ira hanya menurut di belakangnya.

***

“Bangchik, Ira tak fahamlah soalan nombor 3 ni. Cuba Bangchik ajar.” Ira mengunjukkan buku latihan matematik kepada Zahar.

Petang itu mereka sama-sama belajar di halaman rumah Ira. Kerusi dan meja batu berhampiran kolam ikan itu sering menjadi tempat mereka menyudahkan kerja rumah yang diberikan. Suasana yang redup dan sejuk di kawasan tersebut memang selesa untuk belajar.

Zahar segera meneliti soalan dan seketika kemudian tangannya mula menulis jalan penyelesaian. Sambil itu mulutnya menerangkan kepada Ira. Ira yang duduk berhadapan dengan Zahar terangguk-angguk kepalanya ibarat burung belatuk.

“O..macam tu je. Ingat susah sangat!” Ira bersuara.

“Lain kali cubalah dulu. Fikir dulu baru tanya. Ini tak nak guna otak. Bukan tak pandai,” Zahar sudah membebel.

“Yelah, yelah. Taulah Bangcik smart,” nada merajuk sudah kedengaran.

“Abang cakap sikit dah nak merajuk. Nanti waktu exam, Ira nak tanya sapa? Pengawas tu ker? Kan kena fikir sendiri jugak kan?” Zahar terus bersuara.

“Hmm.. yelah. Betullah tu.” Ira sudah kembali menyalin jawapan yang ditulis oleh Zahar.

Zahar memang pelajar yang bijak. Malah dia merupakan ayam tambatan sekolah. Bakal bergelar pelajar terbaik SPM Sekolah Seri Budiman. Dulu sewaktu PMR, dia beroleh 8A. Walaupun ditawarkan ke asrama penuh, dia memilih untuk kekal di sekolahnya sekarang. Tambahan sekolah Seri Budiman sudah ada aliran sains tulen. Baginya di mana-manapun boleh mencipta kejayaan asal sahaja rajin berusaha.

Selebihnya hatinya terasa berat meninggalkan Ira. Adik manja yang sering menemaninya belajar. Benarkah sekadar adik manja? Entah, dia sendiri tidak dapat memberikan jawapan yang pasti. Nak dikatakan kekasih, rasanya dia masih terlalu mentah untuk bercinta. Apa yang pasti kehadiran Ira amat disenanginya.

*****
Keputusan peperiksaan PMR sudahpun keluar. Sebagaimana yang dijangka, Ira memperoleh kejayaan yang cemerlang. 8A, melayakkan dia untuk masuk ke aliran sains tulen.

Zahar masih lagi dalam cuti yang panjang, sementara menunggu keputusan SPM. Waktu yang ada dihabiskan dengan membuat kelas tambahan di rumah. Sambil mengajar anak-anak jiran, dapat juga mengisi poket buat bekalan untuk melanjutkan pelajaran nanti.

Ira juga seperti Zahar, senang memilih untuk menyambung tingkatan empat di Sekolah Seri Budiman. Zahar tetap juga menjadi guru tak rasminya, kalau ada pelajaran yang tidak difahaminya.

Setiap petang, laman tepi kolam ikan masih menjadi tempat dia menyiapkan homework dengan bantuan Zahar.

“Bangcik, nanti kalau bangcik dapat masuk U, takdelah Ira kawan lagi,” Ira bersuara sambil tangannya ligat menyalin nota Sejarah.

Zahar masih mendiamkan dirinya.

“Bangcik, nanti kalau bangcik masuk U, rindu tak kat Ira?” Ira bersuara lagi.

“Hmm… takde pasal abang nak rindu-rindu. Abangkan pegi belajar,” jawab Zahar selamba.

“Isk.. taulah! Bangcik ni memang sengallah,” Ira sudah memuncungkan mulut.

Zahar senyum sambil menggelengkan kepala melihat gelagat Ira. Manja tak habis-habis!

Akhirnya keputusan peperiksaan SPM sudahpun diumumkan. Tepat seperti yang dijangkakan, Zahar sekali lagi muncul sebagai pelajar terbaik Seri Budiman.

“Ira, boleh abang nak minta satu benda dari Ira?” Zahar bertanya satu petang setelah dia pulang dari menghadiri majlis penyampaian hadiah di sekolah.

“Apa?” tanya Ira dengan matanya yang bulat bercahaya.

“Boleh bagi abang pewter pelajar terbaik yang Ira dapat?” tanya Zahar perlahan.

“Abang nak buat apa?” Ira bertanya pelik

“Tukar dengan abang punya.”

“Kenapa?”

“Saja.. buat kenangan. Mana tahu pewter ini nanti akan dapat kawannya.”

“Hmm..macam-macamlah abang ni..Nah! Ambiklah.. Bak abang punya!” Ira sudah malas bersoal jawab dengan Zahar.

Dan kejayaan yang ditempa akhirnya membawa Zahar ke Ireland. 7 tahun lagi Zahar bakal bergelar doktor. Lalu tinggallah Ira menggapai cita-citanya!

***
Masa terus berlalu menginjak usia. Ira juga sudahpun ke menara gading. Namun Ira memilih untuk belajar di universiti dalam negara sahaja, UM. Bidang perubatan tetap juga menjadi pilihan. Entah mengapa, kuat sungguh rangsangan Zahar sebagai idolanya.

Namun jarak masa yang berlalu, merenggangkan hubungan baik mereka. Tambahan, Pak Ali dan Mak Som sudah berpindah balik ke kampung halaman mereka setelah Pak Ali menamatkan perkhidmatannya.

Pendek kata, jauh di mata jauh di hati juga. 7 tahun berlalu tanpa ada sebarang berita. Baik dari Ireland, mahupun dari UM.

Bukan Ira tidak pernah mengingati seraut wajah tampan Zahar. Apatah lagi setiap kali terpandang pewter pelajar terbaik milik Zahar. Lalu kata-kata terakhir Zahar semakin mencerna di dalam minda.

“Mana tahu pewter ini nanti akan dapat kawannya!”


“Ah..apakah benar apa yang aku fikirkan ini? Tak mungkin kot,” bisik hatinya kala terkenang ungkapan Zahar.

Sedar hanya mainan perasaannya. Tambahan dia bukan lagi Ira yang dulu. Yang manjanya tak mengira pada siapa. Angin perubahan setelah bergelar siswazah turut menghembus dirinya agar berubah. Berubah dalam erti kata menjadi seorang yang selayaknya bergelar muslimah solehah. Mana mungkin, ingatan dilayangkan kepada jejaka yang bukan muhrim!

Namun sesekali pulang bercuti, laman tepi kolam ikan, tetap menjadi santapan mata. Mana mungkin dia melupakan kemesraan seorang jejaka. Rindu rasanya untuk kembali ke zaman itu. Astaghfirullahal azim..jauh sungguh fikirannya melayang! Sudahlah Ira, tak seharusnya kamu ingati zaman jahiliah itu lagi! Pewter dan laman tepi kolam ikan, akan tetap menyimpul kenangan.

***
Cepatnya masa beredar, sudah menginjak ke semester akhir pengajiannya. Tak lama lagi dia bakal bergelar seorang doktor. Ah, usia juga sudah semakin menginjak jauh. Tatkala sudah hampir ke hujung pengajian, emak menyampaikan berita yang agak mengejutkan.

“Ira, minggu lepas ada orang bertanya Ira. Mak dengan ayah rasa sudah molek benar waktunya. Ira pun dah nak habis belajar!”

Ternyata berita yang dibawa membuatkan dia mati kata. Entah mengapa dalam hati menyelinap perasaan sayu. Laman tepi kolam ikan dan pewter pelajar terbaik menerjah di tabir ingatan. Sayu, pilu. Dapatkah kenangan lalu itu kembali diulang? Akan bersatukah dua pewter yang telah bertukar tuan? Ah! Ira, lupakan saja! Mana mungkin terjadi. Sedang khabar tak pernah bertukar ganti.

“Hmm..siapa mak?”

“Tunggulah.. nanti minggu hadapan mereka akan ke mari lagi. Mak nak Ira berkenalan dulu. Apapun keputusan Ira, tengoklah dulu tuan empunya badan,” emak menyambung bicara. Dia tidak mahu mempengaruhi keputusan si anak. Biarlah Ira menentukan sendiri jodohnya.

“Kalau Ira tolak?”

“Mak dan ayah akur. Tapi mak nak Ira kenal dulu. Tak salahkan?” lembut memujuk si anak yang sudah mula tak keruan

***
Hujung minggu yang dijanjikan, akhirnya tiba jua. Dengan debaran yang menampar dada, tetamu tetap dinanti. Sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam akhirnya terparkir di halaman rumah.

Suara memberi salam kedengaran kemudiaannya.

“Lah, sorang saja ke? Mana yang lain?” ramah suara emak bertanya tetamu yang berkunjung.

“Sorang je dulu. Mak dan abah petang sikit nanti. Kaklong tiba-tiba bersalin tadi. Mak tunggu umi dan abah kaklong datang temankan nanti,” kedengaran suara garau menjawab ramah.

Ira sudah terasa jantungnya umpama jatuh ke perut. Siapalah jejaka yang ingin emak perkenalkan kepadanya. Matanya mencuri pandang ke ruang tamu. Kelihatan kelibat si dia yang membelakangkan ruang dapur. Cuma nampak kopiah di kepala. Siapa juga gerangannya.

“Ira, dah siapkan minuman?” suara emak mengejutkan Ira yang duduk termenung di meja makan.

“Hmmm..dah mak. Mak bawalah ke depan,” Ira sudah mengelak.

“Ye lah..tapi sampai bila kamu nak menyorok?” emak bertanya sambil mengangkat dulang.

“Nanti dulu lah mak,” jawabnya ringkas.

“Yelah.. kamu siapkan dulu makan tengahari,” pesan emak sambil berlalu.

Ah! Siapa juga lah si dia ini.. Hati Ira terus berbicara sendiri. Sambil tangan terus ligat menyiapkan hidangan tengahari.

“Assalamualaikum..nak tumpang tandas sekejap!”

Ira yang sedang menceduk nasi hampir tercampak pinggan di tangan. Belum sempat menoleh, si dia sudahpun berlalu ke bilik air. Ira cepat-cepat menyudahkan kerjanya.

Sebaik terdengar pintu bilik air dibuka, segera dia ke singki. Pura-pura membasuh tangan. Tak sanggup untuk bertatapan dengan si dia. Lega melihat si dia berlalu ke depan. Perawakan yang agak tinggi lampai dengan tubuh yang kemas menjadikan si dia kelihatan tegap saja. Ah! Ira, jaga pandangan mata mu!

Tak lama kedengaran suara riuh di depan rumah. Ada siapa pula yang sampai ni…Kata emak cuma si dia sahaja tadi. Siapa pula yang tiba-tiba bertandang? Tak kuasa sudah Ira nak menjengah. Kelam kabut menambah pinggan mangkuk. Tahu tetamu perlu dijamu.

‘Ira..!” suara emak sudah kedengaran memanggil

Aduh.. sudah tiba masanya dia ke ruang tamu. Kelibat pemuda tadi sudah tidak kelihatan. Entah ke mana pula si dia menghilang. Sudah balik barangkali atau keluar sebentar untuk memberi laluan tuan rumah melayan tetamu yang tiba-tiba datang tanpa khabaran.

“Ira, cuba tengok ni siapa datang?” emak sudah tersenyum lebar.

Ira menjengah ke ruang tamu.

Seketika dirinya sudah berada dalam pelukan seorang wanita.

“Ira..ingat Mak Som lagi?” ujar wanita itu dengan mata bergenang.

“Ya, Allah Mak Som!! Rindunya Ira pada Mak Som!” Ira kembali mendakap wanita yang sudah dianggap seperti ibunya itu.

“Dah besar anak Mak Som ni.. dah makin cantik! Alhamdulillah, bertemu juga kita,” Mak Som tak puas-puas mencium pipi gebu Ira.

“Ha.. sudah lah tu Som. Mari kita ke dapur. Ira dah siap masak dah tadi,” emak sudah memimpin tangan sahabat baiknya. Ayah dan Pakcik Ali juga sudah bangkit berdiri.

“Ira, pergi panggil abang cik kamu..ada kat depan tadi..” emak sudah bersuara dari dapur.

“Ha!.. Abangcik datang? Bertuah sungguh! Kenapa tak naik sekali dengan Mak Som? Eh! Mana pulak mamat tadi.. takkan dah balik kot. Ah! Lantaklah..” Ira sudah mengomel dalam hati. Dia sebenarnya cuak juga memikirkan si dia. Memang pelik datang tak bersambut balik tak berhantar.

Hatinya sudah tak sabar untuk melihat abangciknya. Bagaimana rupa Zahar setelah hampir 10 tahun tidak berjumpa. Entah-entah rambut pun sudah tinggal beberapa helai. Doktorlah katakan. Sempat lagi mengutuk dalam hati.

Dijengah keluar, tidak nampak kelibat Zahar. “Hmm..mesti kat laman tepi kolam ni.. port kegemaran dia,”

Lalu dia keluar menerusi pintu tepi rumahnya. Baru hendak melangkah ke arah kolam ikan, tiba-tiba selipar yang dipakai terputus. Kakinya tersadung birai longkang dan dia jatuh terduduk.

“Ira tak apa-apa?” suara garau menegurnya.

Dia yang masih tunduk mengurut kaki, mendongak memandang orang yang bertanya.

Ha! Si Dia yang berkopiah tadi!!!

“Bangcik ke?”

Si dia sudah mengangguk.

“Boleh bangun?” tanya si dia.

Angguk dan cuba bangun, tapi terjelepok semula. Terseliuh agaknya kaki.

Si dia hulur tangan memegang lengan yang berlapik baju kurung.

“Maaf ye, abang tarik!”.

Terasa dadanya bergendang kencang. Ibarat terkena arus elektrik!

Laman tepi kolam mengimbau kenangan manis! Dan pewter pelajar terbaik, akan bersatu jua akhirnya. Terima kasih Tuhan!!!

Thursday, March 4, 2010

Bahagia Milikku Jua 13

Diam tak diam, sudah enam bulan Yasmin berada bersama keluarga Makcik Gayah. Enam bulan yang menyaksikan dia kembali cuba membina kehidupannya. Melupakan segala kepahitan yang dialami, namun tetap terbetik rasa rindu terhadap tanah kelahirannya. Kerinduan terhadap rumah peninggalan arwah ibu. Kerinduan juga buat si ayah biarpun ayahlah pencetus tragedi pahit hidupnya. Namun tak terlupakan olehnya kasih ayah yang pernah tercurah buatnya. Hanya kerana duit, ayah gelap mata!

Ramadan yang bakal menjelma tak sampai seminggu lagi, turut mengundang perasaan sayu di hatinya. Pastinya dia tidak dapat lagi merasakan keseronokan berterawih bersama ibu dan Rini di surau. Dan makan moreh juga.

“Rini…apa khabar engkau Rin. Apa khabar Mak Tam?” dia mengeluh lagi.

Selama ini bukan tidak pernah ada secarik rindu buat sahabat baiknya itu. Bukan tidak pernah terlintas untuk merisik khabar, namun dia masih terlalu takut. Takut kalau jejaknya dapat dikesan. Tidak pernah sekalipun telefon yang dibekalkan Mak Tam dibukanya. Biarlah jejaknya tak bertapak. Hilangnya tak terkesan. Biarlah dia membina kekuatan terlebih dahulu agar nanti dia bisa bangkit teguh berdiri mempertahan diri.

“Min..kamu dah makan?” teguran Makcik Gayah mematikan lamunan Yasmin. Suasana restoran Selera Kampung agak lengang kala ini. Yasmin masih tercongok di kaunter pembayaran setelah agak sibuk melayan pelanggan.

“Kenyang lagi maklong,” balasnya.

“La..kan dah pukul tiga lebih ni. Pergi makan cepat..nanti masuk angin perut kamu tu. Biar Maklong jaga kaunter!” gesa Makcik Gayah. Faham benar dengan tabiat Yasmin yang ‘susah makan’ kalau tak dipaksa.

Lambat-lambat Yasmin beredar ke tempat lauk-pauk disusun. Masih ada lagi walaupun tidak sebanyak waktu tenghari. Masak asam pedas ikan pari membuat dia menelan liurnya. Kecur terasa. Lalu segera diceduk sedikit nasi dan dimasukkan ke dalam pinggan.

“Hai..baru nak makan? Bubuh sepinggan untuk abang sekali boleh?”

Tersentak dia mendengar suara dari orang yang berdiri di belakangnya. Terhenti pergerakan tangannya yang ingin menceduk lauk. Siapa lagi kalau bukan si Haris yang telah menamatkan pengajian dan kini sudahpun bergelar jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi.

Yasmin meletakkan pinggan nasinya. Dicapai sebiji pinggan lalu menceduk nasi untuk Haris. Pinggan bertukar tangan. Segera Yasmin menyambung pergerakannya yang terbantut tadi. Sekeping ikan pari dimasukkan ke dalam mangkuk. Kemudian diambil sebuah lagi mangkuk kecil mengisi sambal belacan dan ulam-ulaman. Dia kemudian berlalu ke meja di bahagian belakang. Setelah membaca doa dia mula menyuap nasi perlahan-lahan.

Haris menarik kerusi di hadapan Yasmin dan melabuhkan punggungnya. Pinggan nasi diletakkan di atas meja dan seketika dia dengan selamba menyuap nasi tanpa bersuara. Yasmin yang terkejut dengan tindakan Haris diam tak terkata. Rasa hendak tercekik dibuatnya dengan sikap selamba mamat yang seorang ini!

Kedatangan pelayan yang membawa air minuman untuk mereka berdua, mematikan rasa terkejut Yasmin. Dua gelas air kosong diletakkan di atas meja. Yasmin pasti Haris yang meminta daripada Abang Mat di dapur tadi.

Haris yang tekun menyuap nasi baru terperasan Yasmin yang sudah statik merenungnya.

“Makanlah.. apasal pandang abang macam nak telan?” ujarnya mengusik Yasmin.

“Awak buat apa kat sini?” Yasmin tidak menghiraukan usikan Haris. Sebaliknya dia melontarkan pertanyaan kepada jejaka itu.

“La..kan abang tengah makan?” balas Haris selamba.

“Saya tau dan saya nampak. Tapi kenapa awak dekat sini, waktu ni?” ujar Yasmin menekan perkataan waktu ini!

“Abang ada kerja luar tadi. Kebetulan lalu sini, singgahlah. Tadi tak sempat makan tengahari, so here I am.”

Kedua-dua mereka mendiamkan diri sambil menyambung suapan. Yasmin sudah terasa hilang selera. Mujurlah nasi dan lauk yang diambil sedikit cuma, dapatlah juga dia menghabiskan makan tengaharinya.

Sebaik menghabiskan suapan terakhir, terus dia ke singki membersihkan tangan. Haris turut membuntutinya. Baru saja dia ingin kembali ke kaunter bayaran, Haris sudah menahannya.

“Duduk dulu Min. Abang ada perkara nak cakap sikit dengan Min,” tegas kedengaran suaranya. Yasmin yang ingin berlalu, kembali melabuhkan punggungnya di hadapan Haris.

“Dah lama juga Min kerja. Apa, Min tak nak sambung study ke? Abang rasa elok kalau Min nak sambung,”

Errkk…sambung belajar? Memang itulah yang diidamkannya, tapi mampukah dia menanggung segala keperluannya nanti. Rasanya sudah tak terdaya lagi dia ingin menyusahkan Makcik Gayah yang banyak berjasa kepada dirinya. Mungkin dua tiga bulan lagi ataupun tunggu sahaja semester baru tahun hadapan. Bukan lama mana pun lagi. Sempat dia menyimpan duit lebih sedikit untuk pengajiannya nanti.

“Hmm..tak pasti lagi. Biarlah dulu,” ujarnya ringkas.
“Kalau Min nak sambung elok apply sekarang. Borang dah keluar pun. Abang dah tengok dalam internet.”

Yasmin diam tak terkata. Hati melonjak ingin mengiyakan, namun kemampuan dirasakan terbatas.

Haris masih memerhatikan Yasmin yang membatukan diri di hadapannya.

“Min..apa masalah Min, kalau boleh abang tahu? Tak cukup duit ke? Takde sijil? Sijil tu jangan risau, bila-bila kita boleh pergi ambil salinannya. Kalau hal duit, abang ada sesuatu nak cadangkan pada Min.”

Yasmin mendongak memandang wajah Haris. Dapat dilihat kesungguhan lelaki di hadapannya itu. Dia masih diam tidak berkutik.

“Hmm…macam ni. Kalau Min nak sambung, abang akan bayarkan duit yurannya,” ujar Haris tenang.

“Jangan! Min tak nak menyusahkan awak,” pantas Yasmin mencelah.

“Min..cuba dengar dulu cadangan abang!” tegas, Haris bersuara.

Yasmin menggeleng kepala dan ingin membangkang, namun melihat Haris sudah mengangkat tangan, memaksanya mendiamkan diri.

“Macam ni, abang bayarkan duit yuran pendaftarannya. Gaji Min, boleh Min gunakan untuk perbelanjaan atau tampung bayaran selebihnya. Nanti semester akan datang Min boleh mohon pinjaman.”

“Min tak boleh terima. Min tak nak menyusahkan sesiapa. Cukuplah awak sekeluarga bantu Min selama ini..” Yasmin bersuara perlahan.

“Min..kami semua dah anggap Min ahli keluarga kami. Jadi tak salahkan kalau abang bantu Min. Macam nilah, Min anggap duit abang beri ni sebagai pinjaman. Nanti bila dah kerja esok, Min bayar balik!” Haris memujuk lembut.

Yasmin sudah tidak terkata. Dirasakan tawaran Haris itu sangat menarik untuk dilepaskan. Namun serba salah pula untuk menerima, bimbang menyusahkan.

“Min fikir dulu..jangan menolak dulu. Tapi abang harap Min pertimbangkan sebaiknya. Untuk kepentingan masa depan Min jugak!” pujuk Haris lembut.

“Baiklah, Min akan pertimbangkan. Terima kasih,” balas Yasmin setelah agak lama berdiam diri.

"Nanti bila Min dah bersedia bagi tahu abang keputusan Min. Tapi abang harap Min terima cadangan abang. Ha..nanti abang bawak Min pergi ambil salinan sijil-sijil Min. Oklah, abang pergi dulu," ujar Haris sambil bangkit dari kerusi yang didudukinya.

"Insya-Allah. Terima kasih awak!". Hanya itu yang mampu diucapkan kepada pemuda tersebut.