Saturday, February 27, 2010

Bahagia Milikku Jua 12

Suasana sejuk masih lagi terasa biarpun jam sudah menunjukkan pukul 10.15 pagi. Kawasan perkelahan di Sg. Congkak, sudah agak ramai pengunjungnya.

Mereka berempat segera mencari tempat yang agak tersorok sedikit dan kurang orang. Seketika kemudian tikar dibentangkan dan bakul berisi bekalan makanan diletakkan. Yasmin melabuhkan punggungnya di atas tikar. Matanya dihalakan ke arah air sungai yang jernih.

Teringat anak sungai yang tidak jauh dari dusun ayahnya. Selalu, kalau musim buah-buahan mereka bertiga akan lebih kerap ke situ. Peluang itu biasanya digunakan untuk berkelah dan mandi-manda.

Aliya sudah membuka bekalan yang dibawa. Nasi lemak bersama sambal tumis bilis, rendang kerang dan ayam kampung yang digoreng. Ada juga sandwich telur dan sardin. Mereka hanya berempat tetapi banyak juga makanan yang disediakan. Aliya dan Muaz yang sibuk mengatur menu.

“Liya, takkan bubuh untuk Liya sorang je?” Muaz bersuara melihat Aliya yang sedang menceduk sambal tumis ke dalam pinggan.

“Ala.. abang nak buat sendiri,” balas Aliya selamba.

“Isk..isk. rajinnya anak dara sorang ni..” Muaz memperli.

Yasmin yang mendengar perang mulut dua sepupu itu segera bingkas dari duduknya. Dia mengeluarkan pinggan dan mencedukkan nasi untuk Muaz. Bekas berisi lauk dan sandwich diletakkan di atas tikar dan dibuka penutupnya. Begitu juga termos berisi air kopi dan botol air mineral dikeluarkan dari raga.

Tidak nampak pula kelibat Haris. Entah ke mana dia menghilang.

Muaz sudah mencapai pinggan nasi dan menceduk lauk.

“Thanks kak. Kak Min tak makan sekali ke?” ujarnya sambil membasuh tangan.

“Kejap lagilah Muaz. Kamu makan dulu.”

“Ha’ah, Muaz makan dululah. Lepas ni nak mandi pulak!” ujarnya sambil mula menyuap nasi.

Seketika kemudian Haris muncul dengan tuala tersangkut di bahu. Haris terus melabuhkan punggungnya di sebelah Muaz yang sedang tekun menyuap nasi lemak.

“Mana nasi abang?” ujarnya sambil matanya memandang Yasmin yang sedang menuang kopi ke dalam cawan. Tuala di bahu diletak di atas tikar.

Tanpa sepatah kata, Yasmin mencapai pinggan kosong dan dibubuhnya dua senduk nasi. Belum sempat pinggan dihulur ke arah Haris, tiba-tiba lelaki itu bersuara.

“Abang nak kepak ayam tu. Sambal tumis lebih sikit. Kerang sesudu je. Timun dua keping cukup!”

“Isk. Isk.. macam tak boleh ambil sendiri,” gerutu Yasmin dalam hati namun tangannya tetap bergerak seperti yang diarahkan Haris.

Haris hanya tersenyum memerhatikan gelagat Yasmin. Dia menjangkakan gadis tersebut akan membantah, tapi tak disangka Yasmin hanya menurut sahaja.

Pinggan yang sudah siap berisi makanan itu berpindah tangan.

“Thanks. Min tak makan sama ke? ujar Haris sebelum mula menyuap.

“ Nak makanlah ni. Aliya nak tambah lagi tak?” sempat pula Yasmin menegur Aliya yang sudah menghabiskan sepinggan nasi lemak.

“Taknak dah. Kenyang. Nak air kosong je kak,” balas Aliya.

Yasmin segera menuang air mineral ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Aliya yang menanti. Kemudian dia mencapai sepotong sandwich telur lalu disuap ke mulut.

“Kat kampung, Min selalu berkelah macam ni?” tiba-tiba Haris bersuara memecah kesunyian.

Muaz sudahpun meneguk air kopi dan berjalan ke arah sungai untuk mencuci tangan. Aliya juga membuntuti langkah Muaz, sambil membawa pinggan kotor.

“Adala jugak. Tapi pi kat dusun ayah saja,” balas Yasmin sambil tangannya mencapai sepotong lagi sandwich.

“Ooo..ada dusun. Mesti bestkan kalau musim buah. Dapat makan buah fresh dari pokok,” Haris bersuara teruja.

“Hmm…”

“Kak, cepatlah kita mandi jom..” Aliya yang sudah kembali dari mencuci pinggan sudah merengek mengajak Yasmin mandi. Muaz sudahpun berendam dalam sungai.

“Alah dik..kak tak bawak baju lebih. Lagi pun memang kak tak mau mandi,” Yasmin menjawab sambil tersenyum melihat Aliya yang memuncungkan mulutnya.

“Alaa..tak bestlah..” rengeknya manja.

Yasmin menggelengkan kepala melihat gelagat manja Aliya. Sudah besar panjang pun masih keanak-anakan. Tapi dia tetap terhibur dengan telatah Aliya itu.

“Takpa. Mai kakak temankan. Tapi kak tengok saja ye?” kata Yasmin bagai memujuk anak kecil. Segera dicapai novel yang dibawanya bersama.

“Saya teman Liya dulu ya,” ujar Yasmin meminta izin daripada Haris yang masih lagi enak menjamu selera.

“Hmm..pergi lah Min. Karang merajuk pulak si baby tu,” usiknya sambil memerhati ke arah Aliya yang sudah tersengih, meskipun dia masih belum puas berbual dengan Yasmin.

Yasmin melabuhkan punggungnya di atas sebongkah batu yang agak besar. Kakinya direndamkan di dalam air sungai. Terasa sejuk dan segar. Aliya sudah masuk ke air. Seronok benar kelihatannya. Yasmin membuka novel Jaja&Din yang dibelinya dua hari lepas. Tekun benar dia menelek halaman demi halaman.

“Min tolong pegang handphone abang ni kejap,” tiba-tiba terhulur handphone di depannya. Terkejut juga dia yang sedang khusyuk membaca. Dicapai telefon bimbit tersebut lalu dimasukkan ke dalam poket baju kurungnya.

Haris sudah siap membasuh pinggan kotor yang digunakannya. Kemudian berlalu ke tempat duduk mereka tadi untuk menyimpan pinggan yang telah dibersihkan. Seketika kemudian dia sudahpun melabuhkan punggung di atas batu tidak jauh dari tempat Yasmin sedang khusyuk membaca.

“Min suka baca novel?” ujarnya memancing perbualan

“Hmm…” balas Yasmin pendek.

“Bagus ceritanya?” tanyanya lagi.

“Hmm..”

“Abang pinjam boleh?” ujarnya menyakat Yasmin. Ingin melihat sama ada gadis itu memberi tumpuan kepada pertanyaannya.

“Hmmm..”

Lalu dia mencapai novel yang dipegang oleh Yasmin. Terkejut Yasmin dengan tindakan Haris.

“Eh…” Yasmin cuba merebut kembali novelnya.

“La..tadi abang tanya boleh pinjam, Min kata hmm. Orang ambil dia tak nak bagi pulak!” Haris bersuara sambil menjegilkan matanya mengusik Yasmin.

Yasmin sudah terpaku. Merah mukanya dengan usikan Haris.

“Nampak sangatlah Min ni tak sedar apa orang cakap,” ujar Haris sambil ketawa kecil.

“Memang macam tu ye kalau dah khusyuk baca novel?” tanya Haris kemudian.

Yasmin hanya membalas dengan senyuman. Pertama kali dia melemparkan senyuman kepada Haris.
‘Bolehpun senyum..manis,’ bisik Haris perlahan.

“Bagus ceritanya Min?” tanya Haris sekali lagi. Ingin berbual dengan Yasmin. Dan terasa dia sudah berjumpa dengan topik yang sesuai.

“Hmm..pada Min bagus. Sebab dia bukan sekadar sebuah cerita. Tapi penuh dengan tazkirah,” balas Yasmin. Tanpa sedar dia sudah membahasakan dirinya Min. Buku tersebut sudah pun habis dibaca kelmarin tapi sengaja diulangnya untuk kali kedua.

“Iye..apa pengisiannya?” tanya Haris lagi.

“Kisah penghijrahan peribadi seorang wanita. Kembara iman. Dengan kebijaksanaan seorang lelaki yang bernama suami. Mengenali erti iman, ketaatan, ikhlas, zuhud dan jihad. Kisah seorang media planner yang berkahwin dengan ustaz,” balas Yasmin dengan mata bersinar. Nampak benar dia menjiwai apa yang dibacanya.

“Wah! Bagusnya. Tentu hebat ustaz tersebutkan?”

“Memang hebat. Dan semua wanita mahu suami mereka hebat. Hebat dalam erti kata sebagai ketua keluarga. Sebagai pemimpin dalam rumah tangga yang boleh mendidik isteri dan anak-anak,” balas Yasmin.

Haris seakan terpana mendengar bicara Yasmin. Tak disangka Yasmin begitu petah memberikan pandangan. Dia merasakan Yasmin sebenarnya seorang yang bijak.

“Min, kalau abang tanya Min jangan kecil hati ya! Siapa sebenarnya Min. Kata maklong Min pernah mengambil STPM. Kenapa tak sambung belajar lagi? Abang rasa Min layakkan? Kenapa Min tinggalkan kampung?” Haris meluahkan pertanyaan sambil matanya merenung tepat ke mata Yasmin.

Yasmin tersentap mendengar pertanyaan yang keluar daripada mulut Haris. Perlukah dia membuka kisah hidupnya hari ini? Kenapa lelaki ini begitu berminat untuk tahu? Yasmin melepas keluhan. Apa yang harus dijawabnya?

Haris masih tenang menanti jawapan Yasmin.

Yasmin hanya mampu menundukkan mukanya. Tak terbuka mulutnya untuk bercerita. Tak tahu dari mana harus dia bermula. Perlukah dia mengisahkan perihal hidupnya yang malang itu? Ah! Dia masih belum bersedia. Belum masanya. Biarlah segalanya kekal rahsia!

“Kak Min, along! Jomlah kita balik. Liya dah penatlah..” kelibat Aliya mencantas perbualan mereka.

Dan pertanyaan Haris terbiar sepi…

2 comments:

iffahnazifa said...

takpe haris, byk masa lagi
Nnt kenal la sape yasmin tu.

Hafia Hana said...

ahahhahah...
smbung2