Wednesday, May 5, 2010

Bahagia Milikku Jua 14

Akhirnya Yasmin mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian, setelah berbincang dengan Makcik Gayah. Bagi Makcik Gayah pula, tiada apa yang menggembirakannya, melihat Yasmin sudah kembali bangkit mengatur kehidupannya.

Minggu pertama di Kolej Sri Iman, dipenuhi dengan aktiviti orientasi. Walaupun dia bukanlah pelajar sepenuh masa, namun semua pelajar baru diwajibkan menghadiri aktiviti tersebut. Bagi Yasmin, ia pengalaman yang amat bermakna buat dirinya.

Terasa bagaikan mimpi, hasratnya untuk menyambung pengajian akhirnya terlaksana, biarpun agak terlewat berbanding kawan-kawan yang lain. Mujurlah dia masih berpeluang untuk bergelar pelajar.

Di kolej tersebut dia mula berkenalan dengan Nani, pelajar dari Sabah. Tapi sudah lama berhijrah ke Semenanjung. Nani juga sepertinya, belajar secara sambilan. Malah mereka juga mengambil kursus yang sama, diploma undang-undang. Nani bekerja sebagai kerani di sebuah firma undang-undang. Kata Nani lebih mudah untuk dia mengambil kursus tersebut kerana minatnya sudah tersemai di situ. Nani juga memiliki kenderaan sendiri, sebuah kereta kancil. Kata Nani cukuplah untuk dia berulang-alik ke kelas. Dan Nani mempelawa dia menumpang kenderaannya.

Terasa agak lapang juga perasaan Yasmin kerana sekurang-kurangnya masalah pengangkutan hampir selesai. Bolehlah dia berkongsi kenderaan dengan Nani, membayar duit minyak dengan sahabat barunya itu. Tak perlulah Makcik Gayah risau nanti.

Minggu orientasi berakhir juga. Hujung minggu nanti bakal bermulalah kelas pertamanya. Dan secara rasmi, dirinya bakal bergelar pelajar IPT. Seperti biasa, Yasmin menghabiskan masanya di restoran Selera Kampung. Rutin kerja di restoran tetap dilakukan seperti biasa.

Jam sudah menunjukkan ke angka 3. Pelanggan di restoran Selera Kampung tidak begitu ramai. Hanya jam 4 nanti pelanggan akan kembali ramai, untuk minum petang. Yasmin masih lagi berteleku di kaunter.

Baru sahaja dia ingin membantu di belakang, tiba-tiba matanya terpandang Aliya melangkah masuk ke dalam restoran. Masih berbaju sekolah. Di belakangnya terlihat pula kelibat Muaz dan…Haris. Wajah anak gadis itu jelas mempamerkan riak keletihan.

“Kak Min…nak fresh oren satu! Adui letihnya hari ni..” Aliya meletakkan beg sekolahnya di atas meja makan tidak jauh dari kaunter. Tangannya mengipas-ngipas muka. Tidak lama kemudian, Muaz turut sama menarik kerusi di sebelah Aliya, diikuti Haris.

“Muaz nak air apa? Abang Haris?” Yasmin yang sudah mahu berlalu ke bahagian dapur sempat bertanya kepada dua beradik tersebut.
Haris seakan terkedu mendengar Yasmin membahasakan dirinya dengan panggilan abang buat pertama kali, sejak mereka kenal. Tidak pula kelihatan Yasmin janggal. Bagi Yasmin pula, dia sebenarnya berasa terhutang budi dengan kebaikan Haris. Jadi tak salah rasanya dia memanggil Haris dengan panggilan hormat itu.

“Muaz nak air sirap bandung”

“Abang nak air epal”

Yasmin terus berlalu ke bahagian dapur restoran, membuat pesanan. Kemudian dia kembali tempat makanan. Hari ini ada beberapa menu minum petang yang agak membuka seleranya, terutama laksa. Terasa perutnya berbunyi, tambahan dia belum makan tengahari lagi. Laju tangannya menceduk laksa dan mengisi ulam serta kuah.

“Min, bubuh untuk abang sepinggan.” Haris sudah menunggu di belakang Yasmin. Pinggan laksa yang sudah berisi kuah sebentar tadi terus dihulur kepada Haris. Dia kembali mencapai sebiji lagi pinggan untuk dirinya pula.

Mereka berempat duduk semeja. Kata Aliya hari ini sekolah sudah memulakan kelas tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar. Jadi dia dan Muaz terpaksa balik lewat tiga kali seminggu.

“Min, macam mana dengan minggu orientasi?” tiba-tiba Haris bersuara sambil membetulkan cermin matanya.

Aliya bergegas bangun sebaik sahaja fresh orange habis disedutnya. Mahu ke belakang katanya. Ke mana lagi kalau tidak di bilik Abang Mahmod. Bermain game di komputer. Muaz juga ikut bangun. Budak berdua itu ibarat kembar tak serupa. Perangai saja sama.

“Hmm.. bagus!” jawabnya ringkas sambil meneruskan suapan. Tinggal mereka berdua di meja makan itu.

“Bila kelas mula?” Haris memanjangkan bicara.

“Hujung minggu ni kelas pertama.”

“Macam mana pegi kelas nanti? Abang hantar?”

“Erm..tak payahlah kut. Min tumpang kawan!”

“Haaa…dah ada yang nak tumpangkan? Min biar betul, karang kamu kena jual,” Haris sudah menghentikan suapan. Matanya bulat memandang Yasmin.

Yasmin sudah mula tidak senang duduk. Apa salahnya dia menumpang Nani. Tambahan Nani pun sudah berkenalan dengan Makcik Gayah sewaktu menghantar dia ke restoran Selera Kampung kelmarin. Siap Makcik Gayah belanja Nani makan tengahari di restorannya itu!

“Kawan perempuanlah bang! Satu course dengan Min. Maklongpun dah kenal,” jawabnya perlahan.

“Hmmm…abang hantar kamulah first class tu!” tegas kedengaran suara Haris.

“Erk…dah janji dengan Nani, nak pegi saing dia,” balas Yasmin pula, takut-takut.

“Abang hantar! Nanti Aliya temankan sekali. Telefon kawan tu bagitau. Baru kenal, jangan mudah percayakan orang. Sebulan ni biar abang hantar dan ambil,” Haris kembali menyambung suapan. Menghabiskan laksa di pinggannya.

‘Dia nilah…pasal apa pulak sibuk nak hantar ambil.’ Gerutunya dalam hati.

“Kami semua bimbang keselamatan Min. Baru kenal seminggu. Kat KL ni macam-macam cara orang boleh tipu. Bukan abang kata kawan Min tu jahat. Tapi berhati-hatilah. Kenal dulu.” Haris bersuara bagai mengerti apa yang terlintas di fikiran Yasmin

Dalam keresahan itu, Yasmin mengakui ada benarnya kebimbangan Haris. Beruntung dirinya kerana berada dalam keluarga yang mengambil berat tentang dirinya.

“Ha… Min ada telefon tak? Bagi nombor Min kat abang. Nanti senang nak berhubung.” Haris sudah siap mengeluarkan telefon bimbitnya, bersedia untuk mencatat nombor Yasmin.

Terkedu Yasmin seketika. Teringat telefon bimbit pemberian Mak Tam yang tersorok di dalam beg kanvas yang disimpan dalam almari di biliknya. Patutkah telefon itu dihidupkan? Apakah yang bakal diketahuinya sebaik talian itu dihidupkan? Ah…mungkin sudah masanya dia ‘kembali’ semula ke saat enam bulan lepas. Atau wajarkan dia menukar kad sim yang baru?

“Ermm .. ada, tapi sim card tu dah tak elok kot? Min nak tukar nombor baru,” balasnya nekad.

“Kalau gitu takpe, nanti abang belikan sim card baru untuk Min. Makan cepat, kalau dah sudah kejap lagi kita balik. Abang nak hantar budak berdua ni. Min pun balik sama dia orang. Maklong pesan tadi,” Haris sudah bangun menuju ke belakang restoran. Pastinya memanggil kedua-dua orang adiknya itu!

1 comments:

Blog27999 said...

As reported by Stanford Medical, It is really the one and ONLY reason women in this country get to live 10 years longer and weigh on average 42 lbs lighter than us.

(And actually, it is not about genetics or some secret diet and really, EVERYTHING to do with "how" they eat.)

BTW, I said "HOW", and not "what"...

CLICK this link to discover if this easy questionnaire can help you unlock your true weight loss potential