Sunday, December 13, 2009

Bahagia Milikku Jua 3

(Lokasi Kg kelahiran Yasmin)

“Mana budak Yasmin?? Mana dia!!!!” Lantang suara jeritan Pak Tam Rahmat memenuhi ruang bilik tidur yang berhias indah itu

Para tetamu yang semua tertanya-tanya sesama sendiri. Ada yang memanjangkan leher cuba menjenguk ke dalam bilik pengantin.

Mak Tam Bibah berpelukan dengan Rini. Bimbang melihat Pak Tam Rahmat yang mula naik hantu. Mak Andam terkocoh-kocoh keluar dari bilik bersama tiga orang wanita lain yang menemani Rini tadi. Teringat pesanan Mak Tam sebelum ini yang menyuruh mereka semua segera berlalu jika keadaan mula kecoh.

“Mana kau sorok budak tu Bibah? Mana?? Aku tahu ni kau punya kerja! Kau memang tak guna!!” Marah Pak Tam berapi-berapi.

Mak Tam terus mendiamkan diri. Dia tahu kalau dia menjawab pasti dia akan dikerjakan oleh Pak Tam Rahmat.

Pak Tam berlalu keluar dari bilik. Mahu mencari kuncu-kuncu pastinya. Ah!!! Kenapalah dia tidak terfikir perkara ini akan terjadi. Sudah sebegini lewat baru tersedar. Entah dapat entah tidak dicari Yasmin.

Mak Tam melepaskan Rini dari pelukan. Hatinya diusik bimbang.

“Mak, macam mana ni? Ayah dah sedar Yasmin hilang. Kalau ayah dapat kesan Yasmin macam mana mak?” Rini bertanya bimbang.

“Insya-Allah tidak Rini. Doakan Yasmin selamat. Mak yakin Yasmin selamat..” Mak Tam menjawab sambil cuba melegakan cuak hatinya sendiri.

Biar apa pun terjadi, dia tidak akan membiarkan Yasmin menjadi mangsa suaminya.

“Tapi mak, kan ayah dah nikah dengan Min. Tak salah ke Yasmin lari?” Rini masih bimbang mengenangkan situasi yang berlaku.

“Rini, perkahwinan ayah kau dengan Yasmin tak sah nak. Pak Ngah Mail tu bukan bapa kandung Yasmin. Dia cuma bapa susuan saja. Arwah Mak Ngah Milah kamu tu cuma ibu susuan Yasmin. Mana boleh Pak Ngah kamu walikan Yasmin,” Mak Tam bersuara perlahan.

Rini memandang ibunya dengan rasa tidak percaya.

“Kamu fikir mengapa mak sanggup buat macam ni? Mak tak nak terlibat dengan dosa Rini. Silapnya Mak Ngah Milah kamu tak pernah berterus-terang dengan Yasmin. Pak Ngah Mail dan ayah kamu pun sama. Bukan mereka tak tahu. Pak Ngah kamu, sebab duit rela nak jual iman dia. Ayah kamu..bukan kamu tak tahu perangai ayah kamu!” keluh Mak Tam sambil mengelap air mata yang mengalir dengan hujung lengan baju kurungnya.

Akhirnya rahsia yang disimpan selama ini diluahkan juga kepada anaknya. Dia tidak mahu menanggung beban dosa kering orang lain.

“Tapi, mak ada bukti ke? Macam mana Pak Imam boleh nikahkan mereka? Kenapa Mak tak beritahu Pak Imam sebelum ni?” Rini masih sukar untuk menerima kenyataan daripada ibunya.

“Rini, mak pun baru tahu perkara ini, sebelum Mak Ngah kamu meninggal minggu lepas. Mak Ngah minta mak beritahu perkara ni pada Yasmin. Mak tak sangka, Pak Ngah dan ayah kau sudah ada perancangan mereka. Tak sempat mak nak buat apa-apa.” Mak Tam menekup mukanya sambil melepaskan sendu. Rini memeluk ibunya erat. Dalam hatinya mengucap panjang.

Mak Tam menyeluk poket baju kurungnya. Lalu digenggam tangan Rini. “Ini surat beranak asal Yasmin. Mak terpaksa sorokkan bila keadaan dah kelam kabut macam ni. Rini..mak nak kamu janji dengan mak. Kalau apa-apa jadi pada mak, kau mesti bongkarkan kebenaran ni. Kamu simpan surat beranak ni elok-elok. Satu hari nanti Yasmin akan perlukan bila kebenaran terbongkar. Apa-apa jadi pada mak, kamu jaga diri kamu dan jaga surat beranak tu. Jangan sampai terlepas ke tangan ayah kamu atau Pak Ngah Mail.”

Rini masih termanggu-manggu mendengar kata-kata ibunya.

“Cepat Rini, pergi masuk bilik kamu. Kamu mesti simpan surat beranak tu cepat! Ayah kamu mesti akan balik ke sini. Cepat!!!” Mak Tam mengarahkan Rini meninggalkannya.

Rini terus berlari keluar dari biliknya. Surat beranak Yasmin mesti disembunyikan segera!

“Bibahhhh!!!!!”