Thursday, December 17, 2009

Bahagia Milikku Jua 5

Yasmin melangkah perlahan menuju ke ruang makan. Kelihatan Makcik Gayah sedang membancuh air di dapur. Di atas meja sudah terhidang semangkuk mihun dan sepiring karipap. Terdapat juga cawan, pinggan serta sudu tersedia di atas meja itu.

Sebaik sahaja menyedari kelibat Yasmin berdiri di ruang itu, Makcik Gayah terus melemparkan senyumannya.

“Ha! Min. Dah mandi? Duduk, kita makan dulu. Kamu mesti belum makan apa-apa sejak kamu sampai tadi kan?” ramah Makcik Gayah bertanya sambil membawa teko ke meja makan. Kemudian dia menarik kerusi berhadapan Yasmin lalu dilabuhkan punggungnya di situ.

Tangannya pantas mencapai senduk lalu disendukkan mihun ke dalam pinggan. Dihulurkan kepada Yasmin. Kemudian dituangkan pula air teh O ke dalam dua biji cawan, satu diletakkan di hadapan Yasmin, manakala satu lagi untuk dirinya.

“Makan Min, jangan segan. Buat macam rumah kamu sendiri,” ujar Makcik Gayah mempelawa Yasmin yang masih lagi duduk terpaku di meja.

Yasmin mencapai sudu lalu mula menyuap perlahan setelah membaca doa makan.

“Makcik tak makan sekali?” dia bertanya apabila dilihat Makcik Gayah hanya memerhati dirinya makan.

“Aa..Makan.makan Min,” Makcik Gayah mencapai sebiji karipap dan kemudian menyuap ke mulutnya.

Masing-masing mendiamkan diri dan terus makan.

“Min..”

“Makcik…”

Kedua-dua mereka saling berpandangan dan kemudian tersenyum.

“Iye, Min nak cakap apa?” tanya Makcik Gayah memberi peluang Yasmin berbicara terlebih dahulu.

Yasmin yang sudah berhenti makan bersuara, “Makcik, Min nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada Makcik sebab sudi tolong Min. Makcik bukannya kenal Min pun, tapi Makcik sanggup bawa Min balik. Menyusahkan Makcik saja. Terima kasih sangat-sangat Makcik. Allah saja yang dapat membalas budi baik Makcik.”

Tanpa disedari, air matanya kembali bergenang mengenangkan kebaikan yang diberikan oleh seorang wanita yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Tidak dinafikan, terbetik juga perasaan cuak di hatinya apabila dipelawa oleh Makcik Gayah tadi.

Namun, mengenangkan dia tiada arah hendak dituju, maka dia hanya mampu bertawakal kepada Allah memohon perlindungan. Daripada dirinya terumbang-ambing sendirian, lebih baik dia mengikut Makcik Gayah. Hanya doa dipohon agar dirinya terlindung daripada bahaya. Dia yakin jika dirinya bersangka baik dengan Allah maka pasti akan ada bantuan dari-Nya.

“Tak ada susahnya Min. Lagipun Makcik bimbang bila kamu kata kamu tiada saudara mara di sini. Kuala Lumpur ni Min, boleh jadi tempat yang sangat merbahaya untuk anak dara macam kamu,” balas Makcik Gayah.

Dia berjeda seketika sambil menghirup air teh O yang sudahpun suam-suam kuku.

“Min, boleh Makcik tahu apa yang sebenarnya terjadi?” tanya Makcik Gayah sambil merenung tepat ke anak mata Yasmin.

Lama Yasmin mendiamkan diri. Tidak tahu dari mana harus dimulakan ceritanya. Pertanyaan Makcik Gayah menambah lagi rasa sedihnya. Air mata yang tadinya tertahan, kini sudah tidak mampu lagi dibendung.

Yasmin terisak-isak.

Makcik Gayah segera mencapai tangan Yasmin lalu digengam erat.

Hasratnya untuk mengetahui kisah Yasmin terbantut. Terasa bersalah pula mengungkap pertanyaan tersebut. Yasmin pastinya masih keletihan. Seharusnya dia dibiarkan berehat terlebih dahulu.

“Sabar Min. Jangan nangis. Apapun yang dah terjadi, kamu selamat sekarang. Tak payahlah kamu cerita dulu. Maafkan Makcik, ye nak.”

Yasmin sekadar menganggukkan kepala. Bukan dia tidak mahu bercerita. Tapi dia tidak mampu untuk membuka mulut, sebak benar rasanya mengenangkan nasib dirinya. Dia juga berasa terlalu letih setelah segalanya berlalu.

“Makan lagi Min. Makan biar kenyang. Lepas ni kamu berehatlah. Nanti dah hilang penat kita sambung lagi bersembang,” Makcik Gayah bersuara penuh pengertian.

Yasmin mengangguk perlahan.

Setelah selesai makan, Makcik Gayah menggesa Yasmin naik ke biliknya untuk berehat. Tidak dibenarkan Yasmin mengemas meja makan, walaupun gadis itu beriya-iya hendak membantunya.
“Tak payahlah Min, sikit saja nih. Makcik boleh buat. Min naiklah berehat, nak tidur pun boleh. Tentu Min tak dapat tidur semalam. Pergilah, nanti makan tengahari Makcik kejut.”

Yasmin hanya menganggukkan kepala. Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke tingkat atas. Sesampai di bilik dia terus menyangkut tudung di rak penyidai, kemudian melabuhkan punggungnya di atas tilam. Badannya disandar di kepala katil, hajatnya untuk melepaskan penat seketika. Tanpa sedar, kepalanya semakin terlentuk dan akhirnya dia terlena.

0 comments: