Friday, December 25, 2009

Bahagia Milikku Jua 6

Bunyi ketukan di pintu bilik menyedarkan Yasmin dari lena. Dia bingkas duduk di atas tilam. Tangannya menguak rambut yang menutupi muka. Segera disanggul semula.

Bunyi ketukan kedengaran lagi diiringi dengan suara memberi salam.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam. Masuklah pintu tak berkunci,” jawab Yasmin sambil menjuntaikan kaki di birai katil. Matanya tertancap pada jam di dinding bilik. Sudah pukul 3 petang.

Serentak pintu bilik di buka, terjengul wajah manis berhias senyuman di bibir.
“Akak dah bangun? Boleh Aliya masuk?”.

“Masuklah. Ni Aliya ye, anak Makcik?” Yasmin cuba berbasa-basi.

Aliya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Langkah di hala ke katil. Kemudian tangan dihulur menjabat salam dengan Yasmin.

“A’ah..Kak Yasmin ye? Mak bagitahu ada tetamu tadi. Mak suruh kejut akak makan tengahari. Akak dah solat? Aliya pun baru je balik dari sekolah ni, tak makan lagi. Kita makan sama-sama ye!” ramah Aliya bersuara, persis ibunya juga.

Yasmin tersenyum mendengar celoteh Aliya. Lega hatinya mendengar keramahan anak gadis itu.

“Akak belum solat lagi. Bagi akak solat sekejap lepas tu kita makan. Aliya nak tunggu sini ke atau nak turun dulu?” tanya Yasmin.

“Aliya tunggu kat bawah je lah kalau gitu. Nanti akak turun,” jawab Aliya sambil berlalu.

Yasmin segera bangkit menuju ke bilik air untuk mencuci muka dan berwuduk. Ingin segera menunaikan kewajipan terhadap Ilahi


*************


Angin petang terasa segar menyentuh wajahnya. Dia duduk di atas buian besi di halaman rumah, sambil memerhati Makcik Gayah yang sedang berkebun. Rajin sungguh wanita separuh abad itu. Tengahari tadi banyak juga lauk yang dimasaknya. Aliya pula berada di biliknya, membuat kerja sekolah katanya.

Setelah minum petang dan bersolat Asar Makcik Gayah berkebun pula. Ingin menolong, tapi Makcik Gayah menyuruh dia berehat. Sudahnya, dia duduk dibuai sambil memerhatikan wanita itu.

Makcik Gayah mengesat peluh dengan lengan bajunya. Sambil berjalan perlahan-lahan menghampiri buaian. Skop dan sarung tangan diletakkan di dalam bakul berhampiran rak kasut. Topi besar yang melindungi muka dari panas matahari dibuka dan dikipas-kipas ke badannya. Mengusir rasa panas. Makcik Gayah melabuhkan punggung di atas buaian berhadapan dengan Yasmin.

“Makcik nak minum?” tanya Yasmin.

“Biarlah dulu. Sekejap lagi..” jawab Makcik Gayah lembut.

Suasana kembali sepi. Hanya kedengaran bunyi engsel buaian yang berkeriut.

“Min, kalau makcik tanya Min boleh jawab?” Makcik Gayah kembali membuka mulut. Yasmin hanya menganggukkan kepalanya.

“Boleh Min cerita apa yang terjadi?” tanya Makcik Gayah sambil merenung tepat ke anak mata Yasmin.

Terdengar keluhan Yasmin.

“Makcik, mak Min baru meninggal minggu lepas. Min tak ada adik beradik lain. Tinggal dengan ayah saja. Min tak sangka, ayah paksa Min kawin dengan kawan dia. Untuk jadi isteri keempat. Puncanya ayah banyak berhutang dengan orang tua tu!” Yasmin bersuara perlahan.

“Min tak nak makcik, tapi ayah nak paksa jugak. Sebab tu Min lari. Min tak nak balik lagi ke kampung makcik,” Yasmin menambah. Walaupun tidak 100 peratus benar, tapi dia juga tidak berbohong. Tak perlu rasanya untuk dia menceritakan status dirinya, kerana bimbang nanti dia akan dikembalikan kepada suami yang tidak pernah direlainya.

Makcik Gayah masih lagi membatukan diri mendengar cerita Yasmin.

“Berapa umur Min sekarang?” tanya Makcik Gayah setelah sekian lama membisu. Sekurang-kurangnya kalau Yasmin tinggal dengannya, dia mesti tahu yang Yasmin sudah melebihi had umur untuk membuat keputusan sendiri. Biarpun mungkin dari segi agama Yasmin tidak akan lepas daripada tanggungan bapanya sehingga dia bersuami, namun sekurang-kurangnya harapannya Yasmin sudah melepasi had umur yang membolehkannya membuat keputusan sendiri.

“Bulan depan umur Min 20 makcik,” jawab Yasmin.

“Kamu sudah buat keputusan untuk lari dari rumah, jadi apa rancangan kamu?” tanya Makcik Gayah lagi. Bukan dia ingin menekan Yasmin, tetapi apabila sudah nekad bertindak sebegitu, Yasmin mesti tahu kesan tindakannya.

“Min rasa Min nak cari kerja dan mulakan hidup baru. Maafkan Min kalau menyusahkan Makcik, nanti Min akan segera cari kerja dan hidup sendiri,” ujarnya sayu.

Suasana sepi seketika. Terdengar keluhan daripada Makcik Gayah
“Min, Makcik tak bermaksud menghalau Min. Cuma Makcik nak tahu kisah sebenar Min. Min tahu tak tindakan Min ini besar kesannya?” tanya Makcik Gayah sambil menggenggam tangan Yasmin.

Yasmin mengangguk.

“Kalau Min nak bekerja, apa kelulusan yang Min ada? Makcik bimbang nanti Min tersalah pilih. Nak lari dari mulut harimau, nanti masuk mulut buaya pulak.”

Yasmin terdiam mendengar bicara Makcik Gayah.

“Macam nilah Min..Min tinggal dulu dengan Makcik. Makcik pun cuma dengan Aliya saja. Boleh jugak buat teman. Tentang kerja tu, tak payah Min fikirkan sangat. Kalau betul nak kerja, Min tolong Makcik berniaga. Kalau takpun, ambil masa, fikirkan apa yang Min nak buat,” ujarnya lagi.

Yasmin mengangguk lagi.

“Sudahlah, jangan difikirkan sangat. Jom kita masuk, dah nak senja ni.” Makcik Gayah bingkas bangun dari buaian. Dia yakin keputusannya tidak salah memberikan perlindungan kepada gadis tersebut.

Yasmin sekadar membuntuti wanita itu.

0 comments: