Thursday, February 25, 2010

Bahagia Milikku Jua 11

Ramai juga yang jemputan yang hadir pada kenduri arwah yang dibuat di rumah Makcik Gayah. Jam sudah menunjukkan pukul 10.00 malam. Masih ada lagi tetamu yang belum pulang, rancak bersembang di bawah salah sebuah khemah yang dipasang tuan rumah.

Yasmin mengutip pinggan-pinggan kotor yang ditinggalkan di atas meja makan dan memasukkan ke dalam bekas yang disediakan. Aliya dan Muaz juga turut sama membantu Yasmin. Tiga orang pekerja Makcik Gayah sedang mencuci pinggan dan gelas kotor di belakang rumah.

“Kak Min dah makan ke belum?” Muaz bersuara apabila melihat Yasmin masih tekun melakukan kerjanya.

“Belum lagi. Kejap lagilah. Akak nak bersihkan semua ni dulu. Muaz dah makan?” tanya Yasmin pula.

“Dah makan sikit masa majlis belum mula tadi. Tapi rasa macam nak makan lagi. Rasa lapar pulak bila dah buat kerja ni,” balas Muaz sambil menepuk perutnya.

Yasmin yang memerhatikan gelagat Muaz, ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.

“Ala kak, abang ni kan memang gitu. Pantang buat kerja sikit terus lapar,” sampuk Aliya yang berada tidak jauh dari Muaz.

Yasmin menyambung tawanya mendengar komen Aliya. Memang hubungan Aliya dan Muaz sangat rapat. Yasmin baru tahu rupa-rupanya, Aliya dan Muaz saudara susuan. Aliya bukanlah sebenarnya anak tunggal Makcik Gayah. Makcik Gayah mempunyai seorang anak lelaki sebelum kelahiran Aliya. Namun hayatnya tidak panjang. Genap setahun umurnya, anak lelakinya itu kembali menghadap Pencipta.

Tidak lama selepas kematian anak sulung Makcik Gayah, Muaz lahir. Tetapi ibunya meninggal dunia sewaktu melahirkannya. Lalu Muaz sempat menyusu dengan Makcik Gayah selama hampir setahun. Jadilah Muaz anak saudara merangkap anak susuan Makcik Gayah. Mulanya dulu, Yasmin terasa canggung juga melihat hubungan Muaz dan Aliya. Maklumlah, kalau sekadar sepupu, tetap batal wuduk dan masih ada hadnya.

“Kak Min, nanti kalau nak makan saing ngan kita orang tau?” laungan Muaz yang sedang menolak troli yang mengandungi pinggan dan gelas kotor menuju ke belakang rumah memancung lamunan Yasmin.

Yasmin segera mengambil penyapu dan menyapu sampah di bawah khemah yang kosong.

“Min, kamu dah makan ke?” tiba-tiba Makcik Gayah yang entah dari mana menyapanya.

“Sat lagi lah maklong,” balas Yasmin sambil berpaling ke arah wanita yang berusia separuh abad itu.

“Pergilah makan dulu, nanti perut kamu masuk angin. Tu Aliya dengan Muaz pun dah nak makan tu. Pergilah makan sekali dengan dia orang. Biar maklong sambung pulak,” ujar Makcik Gayah lagi sambil menepuk lembut bahu Yasmin.

Yasmin sudah tidak dapat membantah lagi. Lalu dia bergerak menuju ke bawah khemah bersebelahan untuk mengambil makanan. Aliya dan Muaz sudah tersengih-sengih menantinya di situ.

Yasmin menceduk sedikit nasi dan mengambil lauk-pauk. Kemudian dicapai pula sebiji gelas dan diisi dengan air sirap daripada jag yang ada di atas meja. Kemudian dia bergerak ke arah meja yang sedang diduduki Muaz dan Aliya lalu melabuhkan punggung di sebelah Aliya. Doa makan dibaca perlahan.

Sebaik saja dia menyuap sesuap nasi ke mulut terdengar suara orang memberi salam. Kerusi sebelah Muaz ditarik.

“Baru nak makan ke? Atau sudah round kedua?” Haris menyapa mereka.

“Ala along ni.. kami baru je nak makan tau!” balas Aliya sambil meneruskan suapan. Tidak kisah dengan usikan Haris.

“Along kalau teringin nak makan, pegilah ambil. Join kita orang sekali,” Muaz pula bersuara mempelawa abangnya makan.

“Hmm.. takpelah along dah kenyang dah. Nak minum aje … haus pulak,” Haris bersuara sambil bangun menuju ke khemah sebelah mengambil minuman.

Seketika kemudian dia kembali duduk di sebelah Muaz, membawa bersama segelas air dan sepiring buah-buahan.

Yasmin masih tekun meneruskan suapan. Hendak mempelawa Haris makan, dia tahu Haris sudah kenyang..

“Min..sikitnya makan? Takkan diet kot?” usik Haris setelah melihat Yasmin diam tidak bersuara.

“Tak lah…dah malam-malam kurang selera,” balas Yasmin perlahan. Nasi yang sedikit di dalam pinggan segera dihabiskan. Ingin kembali menyambung tugas.

“Ni, makan lah buah ni. Abang ambil banyak ni, cukup untuk kita berempat,” ujar Haris sambil menyua piring buah-buahan ke arah Yasmin.

“Sekejap ye, nak cuci tangan dulu,” balasnya sambil berlalu. Seketika dia kembali semula ke meja. Aliya dan Muaz masih lagi belum habis makan. Rancak berbual sambil menjamu selera.

Yasmin mengambil gelas air sirapnya lalu diteguk seteguk dua. Kemudian dia mencapai sepotong buah betik dari piring yang disuakan Haris.

Sambil makan dia mendengar perbualan mereka bertiga di hadapannya. Seronok memerhatikan keakraban mereka bertiga. Dan berada bersama keluarga tersebut dia tidak pernah berasa terpinggir. Cuma masih banyak tentang dirinya yang mereka tidak tahu. Biarlah dulu. Masa dan keadaan tidak mengizinkan untuk dia membuka kisah hidupnya.

“Min..Min.!” terkejut dia apabila Haris memetik jari di hadapan mukanya.

“Isk…jauhnya Min dah pergi…sampai mana dah? Bulan ke bintang?” usik Haris sambil ketawa. Muaz dan Aliya juga turut ketawa melihat dirinya yang terpinga-pinga

Yasmin yang mendengar usikan tersebut sudah merah padam mukanya.

“Dia ni lah..kalau tak menyakat orang tak sah agaknya,” gumamnya dalam hati.

“Besok budak berdua ni nak ajak pergi berkelah ke Sg. Congkak. Min ikut sekali ye? Temankan Liya,” Haris bersuara setelah dilihatnya Yasmin mendiamkan diri.

“Maklong ikut tak?” tanya Yasmin kembali.

“Tak kut. Maklong kata dia nak rehat esok,” Haris membalas sambil tangannya mencapai sepotong buah tembikai.

Yasmin diam tanpa memberikan jawapan. Masih berkira-kira untuk menerima atau menolak.

“Ikut lah sekali Min, teman Aliya,” gesa Haris setelah melihat Yasmin seakan serba salah untuk memberikan jawapan.

“Nantilah tanya maklong dulu.”

“Apa yang tanya maklong,” tiba-tiba Makcik Gayah yang entah bila berdiri di belakangnya mencelah.

“Takde maklong. Ni ha pasal budak-budak berdua ni ajak berkelah ke Sg. Congkak esok. Haris ajak Min ikut sekali temankan Liya,” jelas Haris kepada maklongnya.

“Ooo.. Ha, Min! Pergilah. Maklong rasa nak duduk rumah je esok. Kamu temankanlah adik kamu tu. Esok pagi buatlah sandwich ke nasi lemak ke. Boleh makan kat sana nanti,” ujar Makcik Gayah.
Yasmin sudah kematian kata-kata. Nampaknya dia sudah tidak ada alasan lagi untuk menolak. Kata-kata Makcik Gayah sudah umpama arahan.

“Lepas makan ni tak payah dah kemas. Pergilah kamu semua berehat. Nanti biarkan Bik Ani dengan budak-budak lain yang kemaskan,” arah Makcik Gayah lagi.

Memang sudah banyak yang dikemas oleh mereka tadi. Tetamu pun sudah pulang. Yasmin segera mengangkat pinggan-pinggan kosong ke belakang.

“Min, pukul 9.30 pagi esok kita bertolak,” sempat Haris berpesan sebelum Yasmin beredar ke belakang. Yasmin hanya menganggukkan kepala sambil meneruskan langkahnya.

Haris tersenyum melihat kelibat Yasmin berlalu. Dia sedar Yasmin masih lagi kekok dengannya.

Siapa sebenarnya gadis yang bernama Yasmin ini agaknya. Muncul tiba-tiba di tengah-tengah keluarganya, tapi kehadirannya tetap disenangi mereka semua.

“Sabar Haris, pasti kamu tahu juga nanti..” bisiknya sendirian.

3 comments:

MissNera said...

kak... mcm pendek je entry ni tpi terima kasih ye ada gak n3 baru! :D

akak said...

MissNera..

hehe puas gaklah duk perah idea...anyway tq..sbb rajin duk 'tiup semangat' kat akak!

kak long said...

salam. baru singgah kat sini...novel nera best,jln cite dia ok.....bimbang la klu2 lia dpt dikesan...haris nak ngurat yasmin...ok juga...ok sambung lg ye.x sabar.hehehe