Monday, January 11, 2010

Bahagia Milikku Jua 9

Yasmin sudah berkira-kira sendiri. Dia mesti segera menyatakan hasratnya kepada Maklong Gayah. Sejak sudah hampir sebulan di rumah tersebut, Makcik Gayah sudah membahasakan dirinya sebagai maklong. Katanya, dia sudah menganggap Yasmin seperti anak buahnya juga.

Petang itu, sewaktu berehat selepas minum petang di ruang tamu, Yasmin menghadap Makcik Gayah yang sedang membaca surat khabar. Sambil tangannya melipat kain baju yang diangkat dari jemuran, Yasmin bersuara.

“Maklong, kalau Min nak kerja di restoran, boleh ka?”

Makcik Gayah yang sedang khusyuk membaca, terus melipat surat khabar di tangan.

“Betul ke Min nak kerja? Min biasa kerja sebelum ni?” tanya Makcik Gayah kembali.

Yasmin meletakkan kain yang sudah dilipatnya di tepi sofa.

“Kerja tu, tak pernah maklong. Tapi insya-Allah Min boleh belajar. Min ingat nak sambung belajar hujung minggu. Itupun kalau Maklong tak kisah,”jawabnya tenang.

Makcik Gayah tersenyum senang. Dia gembira kerana Yasmin sudah mula memikirkan perancangan hidupnya. Biarlah Yasmin tentukan apa yang mahu dibuatnya. Yasmin sudah dianggap seperti darah dagingnya sendiri. Sikap Yasmin yang pandai mengambil hati, sangat menyenangkan hati tuanya. Ringan tulang, pandai memasak dan mengemas. Selama berada di rumahnya, Yasmin juga sangat menjaga tingkah laku. Solat juga tidak diabaikan. Malah seringkali dia mendengar Yasmin bangun waktu dinihari bersolat dan mengaji. Dan dia yakin Yasmin sebenarnya seorang budak yang bijak. Cuma dia gagal mengorek rahsia Yasmin.

“Kalau Min dah bersedia, maklong tak kisah. Insya-Allah boleh maklong uruskan. Min ada kelulusan apa sebenarnya? Min nak sambung diploma atau nak ulang ambil periksa?” Makcik Gayah merasakan peluang untuk berbicara dengan Yasmin sudah terbuka.

“Hmmm… sebenarnya Min dah ada sijil STPM. Cuma masa tinggalkan kampung Min tak sempat nak ambil semuanya. Lagipun lepas mak meninggal, ayah tak bagi Min sambung belajar, puas Min mintak. Tak sangka ayah ada rancangan sendiri,” Yasmin membalas dengan keluhan.

Alangkah ruginya kalau dia terpaksa mengulang semula mengambil peperiksaan STPM. Kena beli buku rujukan baru. Kalau ingin disambung diploma atau ijazah, pasti memerlukan sijil.

“Min jangan risau. Nanti maklong tanya Haris. Rasa maklong, kalau Min pernah ambil periksa kita boleh usahakan untuk dapatkan salinan sijil tu semula,” Makcik Gayah bersuara setelah berfikir seketika.

Cerah kembali wajah Yasmin mendengar bicara Makcik Gayah.

“Esok Min ikut maklong ke restoran. Bolehla kalau nak mula kerja. Kita tengok apa yang boleh Min buat. Tentang nak sambung belajar tu, nanti kita bincang kemudian,” ujar Makcik Gayah sambil bangun menuju ke halaman. Melihat pokok bunga tentunya!

Yasmin tersenyum senang mendengar kata-kata Makcik Gayah. Dia segera membawa pakaian yang telah dilipat naik ke atas. Baju Makcik Gayah dan Aliya diserahkan kepada Aliya untuk disimpan.

****

Yasmin sudah pun bersiap sejak awal lagi. Dia memakai sepasang baju kurang berbunga kuning kecil bertanah hijau gelap. Tudung berwarna krim disarung ke kepala. Segera dia ke dapur untuk menyiapkan hidangan pagi. Jam menunjukkan pukul 6.15 pagi.

Yasmin membancuh seteko air Nescafe. Tangannya lincah menyapu roti dengan mentega. Telur yang sudah direbus, dilecek-lecek. Dauh salad dan timun dipotong nipis dan digaul dengan mayonis. Sekejapan sudah siap sandwich telur untuk sarapan mereka pagi itu.

Seketika kemudian, Makcik Gayah dan Aliya muncul di ruang makan. Aliya seperti biasa akan mendapatkan Yasmin dan mencium pipinya. Anak manja itu memang sangat gembira dengan kehadiran Yasmin di rumah itu. Makcik Gayah hanya menggeleng kepala melihat telatah Aliya.

“Awal Min bangun?” tanyanya sambil menuang Nescafe di dalam cawan untuk mereka bertiga.

“Biasalah maklong. Cuma hari ni rasa excited sikit,” jawab Yasmin sambil tersenyum.

Baru sahaja dia ingin melabuhkan punggung di kerusi terdengar suara memberi salam. Aliya segera berlari ke muka pintu.

“Ha.. si Muaz dengan Haris tu. Maklong nak suruh Haris jadi driver hari ni. Ada urusan di bank. Lepas hantar Aliya dengan Muaz, kita pegi ke restoran. Lepas tu baru maklong nak ke bank nanti,” ujar Makcik Gayah apabila dilihat Yasmin terpaku di situ.

Sejak tinggal di situ, Yasmin perasan Haris dan adiknya selalu ke keluar masuk rumah ibu saudara mereka. Yasmin segera mencapai cawan dan piring di dalam kabinet lalu diletakkan di atas meja makan. Dia kemudian menarik kerusi bersebelahan Makcik Gayah dan melabuhkan punggungnya.

Terdengar suara Aliya bercakap sesuatu dan diikuti suara gelak si Muaz. Tidak lama, terjengul wajah mereka mereka di ruang makan.

“Apa ajelah budak berdua ni. Kalau jumpa mesti ada saja perkara lucu,” kata Makcik Gayah menegur anaknya dan anak saudaranya itu.

“Alah maklong, macam tak tau si Muaz dengan Liya ni. Liya kalau tak menyakat orang tak sah,” Haris bersuara sambil menarik kerusi di hadapan Yasmin. Matanya tepat memandang ke muka Yasmin yang menunduk.

“Liya ni maklong, suka buat lawak bodoh pagi-pagi hari,” Muaz bersuara sambil ketawa. Memang hubungannya dengan Aliya sangat rapat. Sudah seperti adiknya sendiri walaupun mereka sepupu. Di sekolah, jangan siapa yang ingin meng’usha’ adiknya itu. Pasti diwarningnya! Abang yang sangat protective!

Aliya hanya tersengih memandang ibunya.

“Assalamualaikum Kak Min. Wah..cantiknya Kak Min hari ni..” usik Muaz, tersengih pada Yasmin yang duduk membisu di sebelah maklongnya.

Sekejapan, merah muka Yasmin ditegur begitu.

“Hmm..dah, makan cepat. Kalau layan kamu bersembang nanti ada yang lambat ke sekolah,” Makcik Gayah bersuara.

“Kak Min nak pegi mana lawa-lawa ni?” tanya Muaz masih tidak puas hati.

Haris yang disebelahnya dijeling. Tahu abangnya itu juga sebenarnya ingin bertanya, tapi malu-malu kucing konon!

“Kak Min kamu nak kerja kat restoran kita,” kata Makcik Gayah sambil mencapai sandwich dalam piring.

“Ooo..mesti lepas ni restoran kita lagi laris lah maklong! Sebab ada bunga penyeri yang cantik..” Haris menyampuk sambil melambakkan tawanya. Muaz dan Aliya ikut tumpang sekaki. Makcik Gayah juga tersenyum mendengar gurauan Haris.

Yasmin sudah merah padam mukanya. Dalam hati merungut geram dengan gurauan Haris yang dirasakan agak melampau. Entah mengapa si Haris suka benar mengenakannya.

“Sudahlah tu..kamu orang ni kalau dapat menyakat orang, masak dibuatnya. Cepat! Kita dah lewat ni..Abah kamu dah keluar ke?” Makcik Gayah bersuara meredakan suasana.

“Abah tak balik semalam. Tidur kat restoran lah tu..” jawab Haris sambil bangun mencuci tangan di singki. Cawan yang kotor dibawa bersama dan terus dicuci.

Yasmin terus bangun membawa cawan menuju ke singki. Dia segera membersihkan cawan dan piring yang digunakan sementara mereka yang lain sudah ke depan.

1 comments:

Anonymous said...

testing2...
huhuhu..:D