Friday, May 14, 2010

Bila tiba detik itu… 3

Diam tak diam sudah hampir setahun mereka bergelar suami isteri. Kehidupan mereka bak warna pelangi. Ternyata percintaan selepas kahwin, begitu membahagiakan dan cukup indah. Tak pernah kenal sebelumnya tidak bermakna mereka tidak boleh mencipta bahagia.

Biar bergelar suri rumah sepenuh masa, Nuril tidak pernah berasa bosan. Masanya diisi dengan berkebun dan melakukan kerja rumah. Hasilnya laman yang dulunya hanya ditumbuhi rumput dan sebatang pokok mangga, kini sudah kelihatan hijau redup dan menyamankan. Pelbagai pokok bunga ditanamnya. Malah terdapat kolam ikan dengan pancuran air serta gazebo untuk mereka bersantai. Pendek kata rumah Sadiq yang dulu tampak gersang kini sudah pun kelihatan subur menghijau, sesubur cinta mereka berdua.

Dua bulan lepas Sadiq membelikan sebuah kereta Honda Jazz, untuk isterinya. Senang katanya kalau ada keperluan mendesak. Tambahan, Nuril mengikut kelas pengajian untuk kaum ibu di taman perumahan mereka setiap hari Khamis. Tentu lebih mudah untuk ke sana dengan kenderaan sendiri. Dia bersyukur kerana Sadiq tidak mengongkong malah memberi galakan untuknya. Bertambah juga ilmu dan bekalan untuk kembali ke ‘sana’ nanti.

Seperti biasa, selepas solat Asar Nuril akan ke dapur menyiapkan hidangan makan malam. Itulah rutin sehariannya, kecuali kalau Sadiq menelefon memberitahu rancangannya untuk mereka berdua.

Tak sampai sejam, dia sudahpun menyiapkan masak lemak cili api ketam, sayur campur dan cencaru goreng berlada. Cukuplah untuk mereka makan berdua. Bahkan seringkali juga lauk di sebelah malam dijadikan hidangan tengaharinya, sementelah suaminya itu jarang balik makan tengahari di rumah. Kuih seri muka yang dimasak tengahari tadi juga sudah siap dipotong. Hanya menunggu suaminya tiba.

Baru sahaja selesai membancuh nescafe kesukaan suaminya, terdengar salam diberi. Pastinya Sadiq sudah pulang. Belum sempat dia ke depan, suaminya sudah terjengul di ruang dapur. Ternyata si suami sudah pun menanggalkan tali leher dan stokin. Lengan kemeja juga sudah terlipat hingga ke siku.

“Hai sayang! Baru siap masak ke?” Sadiq bertanya sambil menyambut huluran tangan si isteri. Memang menjadi rutin isterinya itu, akan mengucup tangannya sebelum dan setelah dia pulang dari kerja. Lalu seperti biasa ciuman diberikan di pipi isterinya itu.

“A’ah bang. Abang duduk dulu, basahkan tekak,” ujarnya sambil menghulurkan secawan nescafe. Kemudian dihidangkan pula sepiring kuih seri muka serta segelas air sejuk. Siap dengan semangkuk air basuh tangan.

“Sayang tak minum sama?” Sadiq yang sudah pun melabuhkan punggung di kerusi bersuara apabila dilihatnya Nuril masih lagi sibuk menyusun peralatan di dapur basah.

“Sekejap je bang..Nuril duduk lah ni..” balasnya berjalan kembali semula ke meja makan. Lalu ditarik kerusi bersebelahan suaminya dan dilabuhkan punggung di situ.

“Hmm..sedap kuih nih, sayang masak ke?”

“Iyelah…Nuril tahu kuih kesukaan abangkan? Tapi jangan makan banyak sangat, nanti terlampau kenyang tak boleh pula makan malam lepas maghrib nanti.”

“Sayang masak lauk apa hari ni?”

“Masak lemak cili api ketam.”

“Hmm..wah! Itu pun lauk kegemaran abang jugak tu..Macam ni bertambah boroilah perut abang,” ujar Sadiq sambil ketawa. Memang dia cukup serasi dengan air tangan isterinya itu. Segala yang dimasak isterinya itu kena sahaja dengan seleranya. Terasa badannya juga sudah sedikit berisi.

“Isk abang ni. Sebab tu kalau makan kunyah dulu empat puluh kali sebelum telan. Kemudian jangan terus minum air lepas makan. Barulah body abang maintain, kan rasulullah s.a.w dah ajar cara makan yang betul,” sengaja dia ingin menyakat suaminya itu.

“Iyela, iyelah…isteri abang ni bijak!” ujarnya sambil mencuci tangan. Cukup dua potong kuih seri muka dimakannya.

“Abang dah solat Asar?” tanya Nuril sambil tangannya mengumpulkan cawan dan piring yang sudah digunakan.

“Dah yang. Abang naik atas dulu nak rehat kejap dan mandi. Nanti kita jemaah Maghrib sama-sama,” ujar Sadiq sambil berlalu ke atas.

Faham sangat dia dengan rutin si suami, kalau tidak ke surau. Walaupun tidaklah ke surau tiap-tiap malam, namun dia bersyukur kerana dalam seminggu tiga atau empat kali suaminya itu akan pasti berjemaah bersama kariah tempat tinggal mereka. Sebaik sahaja selesai berkemas, dia terus ke tingkat atas untuk bersiap-siap

******
Sesudah makan malam dan mengerjakan solat Isyak, mereka berdua duduk di ruang tamu. Sadiq mencapai remote controller. Faham benar Nuril rancangan kesukaan suaminya. Apa lagi kalau bukan channel Astro Awani. Memang perbincangan pelbagai isu di channel tersebut sangat menarik.

Nuril, sebagaimana malam-malam sebelumnya, pasti akan menghabiskan masa bersantai berdua begitu dengan membaca. Tidak kira novel, buku motivasi atau buku agama, asalkan bahan bacaan. Mujur juga mereka berkongsi minat yang sama, justeru banyak buku-buku suaminya yang boleh dibaca. Dan semenjak berkahwin koleksi suaminya juga semakin bertambah, malah pelbagai genre buku termasuk novel kesukaan Nuril dibelinya
Memang kadang kala tinggal berdua terasa juga sunyinya. Alangkah baiknya kalau rumah mereka ini riuh dengan suara tangis anak kecil. Namun, mereka masih belum lagi dikurniakan zuriat walaupun sudah hampir setahun bergelar suami isteri. Memanglah anak itu pengikat kasih namun, kalau masih belum rezeki, mau diapakan? Tanpa sedar, terlepas keluhan kecil dari bibir Nuril.

Sadiq yang tadinya leka menonton, berpaling ke arah si isteri yang duduk di sebelahnya.

“Kenapa mengeluh yang? Tak baik tau!” ujarnya mengusik si isteri.

Nuril tetap mendiamkan diri. Buku di tangan tidak lagi menarik perhatiannya. Menyedari kelainan isterinya, Sadiq meraih bahu isterinya itu. Lalu disandarkan kepala isterinya itu ke dadanya.

“Hmm..kenapa ni yang? Cuba cerita dengan abang,” ujarnya lembut memujuk.

Entah mengapa mendengar nada lembut si suami menyebabkan dirinya terasa sebak. Tidak semena-mena air matanya menitis di pipi.

Dear..kenapa ni? Abang ada buat salah ke? Abang ada kecilkan hati sayang ke?” dia masih lagi sabar memujuk si isteri yang kini telah tersedu-sedan.

Nuril segera membetulkan duduknya dan menyapu air mata di pipi. Lalu senyuman dilemparkan kepada suami

“Takdelah, just silly of me.., entah kenapa rasa sayu tiba-tiba..really silly!”

“Takpe, share with me dear.. mesti ada something ni. Takkan sayang sedih kot pasal perbincangan ringgit Malaysia makin kukuh tadi tu,” sengaja dia mahu mengusik isterinya itu, agar kesedihan yang masih terlukis di wajah itu hilang.

“Hahaha..apalah abang ni!” Nuril tidak mampu menahan tawa dengan lawak ‘bodoh’ suaminya itu.

“Abang.. abang tak rasa sunyi ke kita tinggal berdua saja?”

Sadiq sudah faham arah bicara isterinya itu. Tentulah soal anak yang membuatkan isterinya itu bersedih.

“Sayang, belum rezeki kita lagi, nak buat macam mana kan? Sabarlah… insya-Allah sampai masanya Allah akan hantar juga untuk kita,” pujuknya lembut.

Dia sedar anak itu anugerah Allah kepada sesiapa yang dipilih-Nya. Namun, entah mengapa hatinya terasa hiba mengingatkan dirinya yang masih belum terpilih untuk menjadi seorang ibu.

Iye, dia mesti memujuk hatinya supaya bersabar. Orang yang beriman itu ialah orang yang tahan diuji. Dan ujian buatnya, dia masih belum dikurniakan zuriat.

Thursday, May 13, 2010

Bila tiba detik itu 2

Sudah seminggu mereka bergelar suami isteri. Kenduri sudah selesai di kedua-dua belah pihak. Dalam masa singkat itu, banyak juga yang saling mereka pelajari. Memanglah seminggu sangat singkat untuk mengenali hati budi. Juga rahsia yang tersimpan di hati masing-masing. Namun bagi Nuril, dia menyerahkan segalanya kepada takdir. Meletakkan kepercayaan buat insan bergelar suami. Bertawakal dan redha dengan jodoh ketentuan Ilahi.

Bagi Sadiq pula, segala kenangan lama cuba dihapuskan demi menunaikan harapan ibu dan ayah. Biarlah Nuril tidak tahu, pengorbanan yang terpaksa dibuat demi kasihnya terhadap kedua insan yang melahirkan dirinya ke dunia. Biarpun dalam hatinya pernah terukir sebuah nama yang diimpikan untuk mencipta bahagia bersama. Demi ibu dan ayah tercinta, dia rela melupakan si dia. Ternyata pilihan hatinya bukan pilihan hati ibu dan ayah. Mujurlah tak pernah terluah di mulutnya janji untuk sehidup semati dengan si dia. Tapi dia pasti biar tak terucap kasihnya, si dia seolah-olah mengerti. Justeru, dia tidak berkecil hati si dia tidak muncul di hari bahagianya.

Biarlah dia belajar menyemai kasih untuk wanita yang bergelar isteri itu. Tiada cacat celanya pun seorang Nuril. Malah seminggu yang dilalui bersama, seakan tumbuh perasaan lain di hatinya. Mungkin bagi sesetengah orang, bagaimana mungkin menyemai kasih kalau cinta tak dikongsi bersama. Sebantal tapi berlainan mimpi.

Namun baginya, andai tergalas sudah gelaran suami di bahunya, maka terpikul sudah tanggungjawab tersebut. Cinta tidak semestinya bersatu. Cinta boleh dipupuk. Sementelah isteri yang dinikahi begitu tulus menyerahkan diri demi sebuah ikatan yang dilafaz bersaksikan Ilahi!.

Persetujuan bersama dicapai, sehabis cuti perkahwinan Nuril akan mengikutnya ke bandar. Tinggal bersamanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Sementelah isteri itu cuma bekerja di tadika di kampungnya. Dengan pendapatannya, rasanya sudah cukup untuk menanggung seorang isteri dan lima orang anak sekali pun! Biarlah isteri itu berkhidmat di dalam rumah tangga mereka. Tak rugi ilmu yang dimiliki, akan berguna untuk mendidik si kecil yang bakal lahir menyeri rumah tangga mereka nanti. Ibu yang berpendidikan tinggi akan dapat mendidik anak lebih baik lagi, mudah-mudahan.

“Nuril, insya-Allah esok kita balik ke rumah abang. Isnin abang dah mula kerja. Elok juga kita balik awal sikit. Boleh menyiapkan keperluan kita seadanya,” ujarnya malam itu kepada si isteri.

“Hmm..Nuril ikut aje bang. Abang dah bagi tahu mak dan ayah? Umi dengan abi?” wajah suami yang sedang berbaring santai di katil direnung lembut. Tangannya masih lagi melipat kain baju mereka berdua.

“Dah. Jom abang tolong Nuril kemas pakaian,” Sadiq menjawab sambil terus bingkas bangun dari pembaringannya.
Beg pakaian yang sederhana besar dikeluarkan dari bawah katil. Seketika kemudian, dengan dibantu suami, Nuril mula mengemaskan pakaiannya. Terasa sayu pula untuk dia meninggalkan rumah yang sudah sekian lama menjadi tempat dirinya berlindung. Rumah di mana dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh paklong dan maklongnya.

Tak sedar air mata berlinang di pipi. Tersentak apabila jemari suami menyeka mutiara jernih tersebut. Lantas kepalanya dibawa ke dada suaminya dan tangisannya pecah di situ.

******
Pagi itu, mereka sudah bersiap-siap dari awal lagi. Beg pakaian sudah dibawa ke ruang tamu. Mak masih lagi sibuk menyediakan sarapan di dapur. Kak Sakinah juga ada bersama mak. Awal lagi Kak Sakinah sudah tiba di rumah mak, kerana tahu Nuril akan berangkat ke Kuala Lumpur hari ini.

Semerbak bau nasi lemak kukus mak yang memang terkenal sedap itu memenuhi deria baunya. Lalu segera Nuril masuk ke ruang dapur melihat apa-apa yang boleh ditolong. Dilihatnya Sakinah sedang memotong timun dan telur rebus.

“Sorang aje kak? Mana anak-anak dengan Abang Razman?” ujarnya sambil menghampiri ibu yang masih lagi memasak.

“Razif ada kelas tambahan. Rashid ikut abang Man kamu keluar. Ada hal. Kejap lagi dorang baliklah,” Sakinah menjawab sambil tangannya lincah memasukkan hirisan timun dan telur ke dalam piring.

“Ada apa yang tak siap lagi mak?” tangan Nuril sudah berlingkar di pinggang si ibu yang sedang mengacau sambal ikan bilis.

“Takde apa dah. Semua dah siap. Kak Inah dah tolong dah tadi. Nuril siapkan pinggan aje kat meja. Kejap lagi siaplah sambal ni, boleh angkat dah.”

“Ayah tak balik dari surau lagi mak?” Nuril bersuara sambil mencapai pinggan dan cawan.

“Kejap lagi sampailah tu. Ayah kamu kata nak singgah ke rumah Pak Imam Salleh,” Hajah Som sudah pun mematikan api dapur. Sambal tumis yang semerbak baunya itu dikaup dan dimasukkan ke dalam mangkuk.

Seketika terdengar salam diberi di pintu dapur. Tahu dia, Haji Ishak, suaminya sudah pulang. Di belakang suaminya, kelihatan Razman dan anaknya Rashid. Nampaknya semua sudah ada. Hidangan nasi lemak juga sudah siap terhidang bersama seteko teh di meja makan.

“Nuril, panggil suami kamu. Kita dah boleh sarapan dah,” arahnya kepada Nuril yang masih lagi berdiri di meja makan.
Nuril menjengah ke ruang tamu. Kelihatan Sadiq baru saja menutup pintu depan rumah. Beg-beg pakaian di ruang tamu tidak kelihatan. Agaknya suaminya itu sudahpun memasukkan beg ke dalam kereta.

“Jom bang, kita sarapan. Semua dah ada kat dapur,” ujarnya sambil tersenyum ke arah Sadiq.

Biarpun terselit perasaan sayu di hati mereka, namun masing-masing tetap mempamerkan keceriaan di meja makan. Berbual bertanya khabar dan bercerita kisah anak cucu.

“Pukul berapa nak bertolak Sadiq?” tiba-tiba Hj Ishak bersuara ke arah menantunya yang sudah pun menghabiskan nasi lemak di pinggan.

“Ingat lepas sarapan ni nak terus bertolak ayah. Kalau lambat bergerak, lambat pulak sampai nanti,” balas Sadiq setelah meneguk teh di cawannya.

“Hmm.. elok lah tu. Sekarang ni petang-petang hujan, bimbang pulak jalan licin. Ha! Adik, kamu tu cepat sikit makan dan bersiap.”

“Eh, abang aji ni..biarlah budak tu nak makan kenyang-kenyang,” Hajah Som bersuara tidak puas hati dengan arahan suaminya.

“Tambah lagi Sadiq. Nanti tak payah dah nak berhenti makan kat jalan,” arahnya kepada si menantu pula.

“Dah kenyang mak, sedap nasi lemak nih! Dua kali dah saya tambah,” balasnya sambil melemparkan senyum ke arah Hajah Som.

Nuril yang sudahpun menghabiskan nasi lemaknya segera bangun mengutip pinggan-pinggan kosong untuk dibawa ke singki.

“Tinggalkan saja pinggan tu Adik. Nanti Kak Inah cuci dan kemaskan dapur. Adik pergilah bersiap,” Sakinah bersuara apabila melihat Nuril yang berdiri di singki.

‘A’ah, tinggalkan je Adik. Jom kita semua ke depan,” Haji Ishak pula bersuara memberi arahan.

Seketika kemudian mereka kembali semua sudahpun berkumpul di hadapan garaj. Sadiq menghidupkan enjin kereta Toyata Camrynya dan kemudian mendapatkan keluarga mentuanya.

“Ayah, mak, abang, kakak, kami pergi dulu ye,” ujarnya sambil bersalam dengan Haji Ishak dan Razman.

“Sadiq, ayah serahkan Nuril dalam jagaan kamu. Kamu didik dan bentuklah dia jadi isteri yang solehah. Kalau suatu hari kamu rasa dia tidak lagi membahagiakan kamu, kamu serahkanlah dia dengan cara baik pada ayah,”

Sadiq hanya mampu menganggukkan kepalanya. Nuril memeluk erat Hajah Som. Kemudian diikuti Haji Ishak dan Sakinah.

“Adik dengar dan patuh cakap Sadiq selagi dia tidak suruh buat benda yang Allah larang. Redha Allah bila suami redha! Jaga diri Adik dan rumah tangga Adik baik-baik. Mak dan ayah tak ada harta nak bekalkan untuk Adik. Hanya doa dan nasihat saja mak dan ayah boleh beri,” Hajah Som sudah tidak dapat menahan air matanya. Biarpun Nuril cuma anak saudara suaminya tapi tangannyalah menyuap nasi di mulut Nuril sejak anak itu masih kecil. Nuril bagaikan anak yang lahir dari rahimnya sendiri.

Nuril sudah teresak-esak dalam pelukan Hajah Som.

“Som, sudahlah tu. Insya-Allah Sadiq akan jaga Adik dengan baik. Sudahlah tu.. budak-budak ni kalau lambat bergeraknya lambat pula sampainya,” Haji Ishak cuba menenangkan keadaan.

Hajah Som segera meleraikan pelukan sambil tangannya menyapu air mata di pipi Nuril. Sadiq yang melihat terus bersuara meminta izin untuk berlalu.

“Mak, ayah kami pergi dulu ye,” ujarnya sambil menggengam jemari Nuril.

“Iyelah.. hati-hati memandu. Jangan laju sangat. Dah sampai nanti jangan lupa telefon mak dan ayah,” ujar Haji Ishak setelah kedua-dua anak menantunya masuk ke dalam kereta.

Tidak lama kemudian kenderaan yang membawa pasangan pengantin baru itu tidak lagi meluncur laju ke destinasi

**************

Jam sudah menunjukkan ke angka 5. Kereta yang dipandu Sadiq memasuki sebuah rumah teres dua tingkat. Nuril masih lagi terlena di tempat duduk sebelah.

“Nuril.. bangun. Kita dah sampai,” perlahan dia mengejutkan isterinya yang terlena.

Nuril membuka mata apabila dirasakan bahunya digoyang lembut.

“Eh! Dah sampai ke bang? Maaflah Nuril tertidur,” ujar sambil memerhati sekeliling kawasan rumah Sadiq. Kawasan rumah yang terletak di corner lot itu tampak kemas.

“Takpe, abang tahu Nuril penat. Jom keluar,” Sadiq sudahpun membuka pintu kereta. Dia kemudian mengeluarkan beg-beg pakaian mereka.
Seketika kemudian, dia membuka kunci grill dan kemudian menarik pintu gelongsor. Tangan Nuril dicapai lalu menarik isterinya masuk.

“Ni lah rumah kita. Harap Nuril selesa,” ujarnya sambil meletakkan beg pakaian di tepi sofa.

Nuril memerhatikan sekekeliling ruang tamu tersebut. Lapang dan kemas susun aturnya. Ternyata suaminya seorang yang mementingkan kekemasan.

“Banyak lagi perabot yang belum lengkap. Laman tu pun masih perlu dikemaskan. Lepas ni Nuril buatlah apa yang patut ye,” ujar Sadiq sambil melabukan punggung di atas sofa. Setelah sekian lama barulah terasa letih. Cuma sekali sahaja dia berhenti di kawasan rehat Sg. Perak, untuk solat jamak Zuhur dan Asar.

Nuril masih lagi leka memerhatikan ruang tamu dan ruang makan rumah tersebut. Langkahnya kemudian dihala ke bahagian dapur. Rumah di tingkat bawah ada ruang tamu, ruang rehat, ruang makan, dapur basah dan kering dan juga sebuah bilik. Memang luas rumah suaminya. Dan di sinilah dia akan memulakan hidupnya sebagai isteri kepada Mohd Sadiq.

Berpatah balik ke ruang tamu, dilihatnya suaminya sudah terlena. Nak dikejutkan terasa kasihan, tapi dia tahu tak elok tidur selepas Asar. Lalu perlahan-lahan dia memegang ibu jari kaki suaminya dan memanggil suaminya.

“Bang, bangunlah. Tak baik tidur nak senja ni..” namun tiada respon dari si suami.

Lalu dia duduk bersimpuh di sisi sofa dan memegang lembut bahu suami. Menggoyang perlahan sambil memanggil suaminya. Masih lagi tiada tindakbalas. Terdetik di hati untuk mengusik suaminya, lalu perlahan-lahan dia membongkokkan badan, kononnya mahu meniup telinga suami.

Namun belum sempat dia melakukannya tiba-tiba dia terasa bahunya dipaut. Sedar-sedar sudah tersembam di dada suami yang bidang itu!

“Owh.. ada hati nak usik abang ye!,” Sadiq sudah ketawa melihat wajah Nuril yang kemerahan.

“Isk, abang ni orang kejut baik-baik dia buat-buat tak sedar ye!” Dalam pada itu tangannya mula menggeletek pinggang si suami untuk melepaskan diri.

“Abang tak geli lah. Ha..biar abang pulak geletek dia!” tangan Sadiq mula bergerak ke pinggang isteri. Terjerit Nuril menahan kegelian. Sudahnya dia terbaring di atas sofa bersama suaminya. Dan bibir Sadiq akhirnya menyentuh pipi mulus isterinya…

Friday, May 7, 2010

Bila tiba detik itu…1

“Aku terima nikahnya Nuril Ibtisam Ismail, dengan mas kahwinnya RM80.00 tunai.”

Sebentar tadi, dengan sekali lafaz dia sudah sah menjadi isteri buat seorang lelaki bernama Mohd. Sadiq Abdul Rahman. Lelaki yang dikenali tak sampai dua bulan. Lelaki yang diperkenalkan oleh bapa saudaranya.

Kata ayah, Sadiq anak kawan baiknya yang sudah sekian lama terpisah. Kata ayah lagi demi untuk merapatkan hubungan antara keluarga mereka dengan keluarga Sadiq, ayah dan Pakcik Rahman bersetuju menjodohkan mereka berdua. Anak ayah dan mak, Kak Nurul Sakinah seorang sahaja dan sudah berkahwin. Hanya dirinya sahaja yang tinggal untuk merealisasikan hajat mereka.

Siapalah dia untuk membantah hajat ayah dan mak. Rasa kasih untuk ayah dan mak tidak memungkinkan dia menolak hasrat tersebut. Ayah dan mak, biarpun cuma pak long dan mak longnya sahaja, namun baginya mereka berdualah pengganti mama dan papa yang telah pergi mendahuluinya.

Ayah, merupakan abang kandung papa. Mereka cuma dua beradik sahaja. Setelah kematian papa dan mama dalam kemalangan tragis, ayah dan mak mengambil alih tanggungjawab membesarkannya. Ayah dan maklah pengganti papa dan mama. Ayah dan maklah yang mengasuh dan membesarkannya sejak usianya 4 tahun hinggalah sekarang. Kini dia sudah pun menjadi anak gadis berusia 23 tahun.

Ayah dan mak tak pernah membezakan kasih sayang antara dia dengan Kak Sakinah. Apa yang Kak Sakinah dapat, pasti dia juga mendapatnya. Walaupun ayah cuma bekerja sebagai seorang guru sekolah rendah dan mak pula suri rumah, kehidupan mereka tetap berjalan dengan baik. Walau tidak semewah mana, tapi tidak juga kehidupan mereka melarat.

Arwah papa juga seorang guru, jadi adalah juga duit pencen peninggalan papa. Tapi ayah seboleh mungkin tidak menggunakan duit tersebut. Hanya setelah dia mula melanjutkan pelajaran barulah duit tersebut digunakan. Itu pun seboleh mungkin ayah cuba elakkan.

Jadi apalah sangat pengorbanan yang dilakukannya untuk ayah dan mak. Menerima calon pilihan mereka, biarpun entah bagaimanalah nasibnya nanti! Dan yang penting dia telah pun bersolat istikharah memohon petunjuk dari-Nya.

Majlis perkahwinannya telah selesai. Atas persetujuan bersama, kenduri kahwinnya sekadar kenduri doa selamat. Majlis akad nikah yang kemudiannya diiringi dengan jamuan makan. Tiada pelamin dan tidak ada majlis bersanding. Cukuplah selesai perkara wajib. Yang penting syariat terjaga. Memang penduduk kampung maklum dengan cara keluarga mereka. Dulu waktu Kak Sakinah juga begitu. Sesi bergambar pengantin juga ringkas, tidak ada sesi bersalin-salin baju. Cukuplah sekadar buat kenangan mereka.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan kini dia sudahpun bergelar seorang isteri. Isteri yang sedang menunggu suami di dalam kamar pengantin mereka. Bertemanakan Kak Sakinah dan juga Jamilah, sahabat baiknya. Kak Sakinah banyak memberi kata-kata nasihat. Nasihat agar dia menjadi isteri yang solehah. Semalam, mak juga memberi pesanan yang sama. Buat bekalnya memasuki alam baru.

“Assalamualaikum..”

Salam yang diberikan seiring dengan terbukanya pintu kamar mengejutkan mereka bertiga. Setelah salam dijawab Kak Sakinah dan Jamilah meminta diri untuk berlalu. Kejap terasa pelukan kakak dan sahabatnya itu, umpama memberi semangat untuk dirinya.

“Dah solat?” tanya Sadiq sambil berdiri di tepi katil sambil meletakkan sebuah beg kecil. Beg pakaiannya mungkin.

“Belum lagi.”

“Jom kita solat berjemaah.”

“Hmmm…” hanya itu yang mampu dilontarkan. Wajahnya kembali memerah. Malu sebenarnya tiba-tiba terpaksa berkongsi bilik dengan seorang lelaki.

“Saya masuk bilik air dulu,” ujarnya sambil bangun menuju ke almari. Tuala dan pakaian dikeluarkan dari almari lalu terus menuju ke bilik air.

Sadiq hanya memerhatikan gelagat isterinya yang kelihatan agak gelabah. Tersenyum dia sambil menggeleng kepala. Terasa letih setelah tadi sibuk melayani tetamu dan sahabatnya. Lalu tubuhnya dibaringkan di atas katil yang berhias indah itu. Kipas angin yang berputar memberi keselesaan buatnya. Matanya semakin layu.

Baru hendak terlelap tiba-tiba terdengar orang berdeham. Segera matanya terbuka semula. Nuril Ibtisam sudah siap berpakaian dan kini membentangkan sejadah ditepi katil.

Lalu segera dia bingkas bangun dan mencapai begnya. Di keluarkan tuala, kain pelekat dan juga sehelai baju melayu. Segera dia berlalu ke bilik air setelah baju melayu di letakkan di atas katil.

Nuril Ibtisam segera menyarung telekung apabila mendengar azan Maghrib berkumandang dari surau berhampiran dengan rumah mereka. Kemudian dia duduk di atas katil sementara menunggu Sadiq selesai mandi. Tak sampai 10 minit, pintu bilik air terbuka dan Sadiq melangkah keluar. Sadiq hanya memakai pelekat dan tubuhnya dibaluti tuala mandi. Segera pandangan mata dilarikan daripada menatap suaminya.

Sadiq berjalan perlahan menuju ke katil.
“Boleh hulurkan baju melayu tu?” ujarnya lembut.

Nuril segera menghulurkan baju yang pinta tanpa menoleh ke wajah suaminya. Kemudian terus dia melangkah ke atas sejadah. Sadiq tersenyum sendiri melihat tingkah isterinya itu. Lalu segera disarung baju melayu ke tubuhnya sebelum melangkah ke sejadah. Seketika kemudian pasangan itu pun melaksanakan kewajipan menghadap Allah SWT.

Sebaik salam diberi dan doa dilafaz, Sadiq menghadap wajah isteri yang baru dinikahinya. Tangan yang dihulurkan bersambut, lantas terasa kucupan dari bibir isteri. Dan sebagai balasan, dahi isteri dikucup lembut buat kali kedua hari itu. Merona merah wajah si isteri. Malu diperlakukan begitu biarpun sudah tiada batas haram lagi.

“Nuril, terima kasih kerana sudi menerima abang sebagai suami. Walaupun kita tak pernah kenal sebelum ni, tak mengapa. Insya-Allah kita ada masa sepanjang kehidupan ini untuk saling kenal mengenali. Abang terima Nuril seadanya dan abang harap Nuril terima abang seadanya juga. Terima kelebihan dan kekurangan abang.” Wajah isteri yang polos itu ditatapnya.

Entah mengapa terbit perasaan sayu mendengar luahan si suami. Terasa panas bibir matanya. Tanpa dapat ditahan, manik-manik jernih menuruni pipi yang licin bak telur dikupas itu.

Sadiq menggenggam erat tangan Nuril. Kemudian wajah yang menunduk itu didongakkan. Lalu diseka air mata yang menitis di pipi isterinya. Sekali lagi kucupannya singgah di dahi isterinya itu.

“Insya-Allah, bang. Nuril pun harap abang dapat terima diri Nuril seadanya. Kelebihan dan kelemahan Nuril. Moga Allah berkati perkahwinan kita,” ujarnya sambil menahan sendu.

Ketukan dipintu bilik mengejutkan pasangan mempelai itu. Seiring, kedengaran suara mak memanggil mereka. Untuk makan malam pastinya. Nuril segera bingkas bangun menuju ke pintu dan membukanya.

“Dah sudah solat? Kalau sudah, jom kita makan sama-sama,” mak bersuara sambil tersenyum manis.

“Sekejap lagi kami turun mak. Adik salin telekung sekejap. Nanti Adik turun dengan abang.”

Mak mengangguk sambil berlalu.

“Adik?” tiba-tiba Sadiq bersuara di belakangnya yang sedang membuka telekung.

Wajah putih bersih itu kembali memerah ditegur begitu.

“Hmmm..mak dengan ayah dan kak sakinah memang panggil Nuril adik,” ujarnya perlahan. Terasa malu pula ditegur begitu

“O..adik, takkan abang nak panggil adik pulak kan?” Sadiq makin galak mengusik.

Wajah yang sedia merah, itu bertambah merah.

“Dah lah, abang gurau je. Jomlah kita turun. Kesian dorang tunggu pengantin baru.”

Sempat lagi mengusik isteri yang sudah termalu itu!

Wednesday, May 5, 2010

Bahagia Milikku Jua 14

Akhirnya Yasmin mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian, setelah berbincang dengan Makcik Gayah. Bagi Makcik Gayah pula, tiada apa yang menggembirakannya, melihat Yasmin sudah kembali bangkit mengatur kehidupannya.

Minggu pertama di Kolej Sri Iman, dipenuhi dengan aktiviti orientasi. Walaupun dia bukanlah pelajar sepenuh masa, namun semua pelajar baru diwajibkan menghadiri aktiviti tersebut. Bagi Yasmin, ia pengalaman yang amat bermakna buat dirinya.

Terasa bagaikan mimpi, hasratnya untuk menyambung pengajian akhirnya terlaksana, biarpun agak terlewat berbanding kawan-kawan yang lain. Mujurlah dia masih berpeluang untuk bergelar pelajar.

Di kolej tersebut dia mula berkenalan dengan Nani, pelajar dari Sabah. Tapi sudah lama berhijrah ke Semenanjung. Nani juga sepertinya, belajar secara sambilan. Malah mereka juga mengambil kursus yang sama, diploma undang-undang. Nani bekerja sebagai kerani di sebuah firma undang-undang. Kata Nani lebih mudah untuk dia mengambil kursus tersebut kerana minatnya sudah tersemai di situ. Nani juga memiliki kenderaan sendiri, sebuah kereta kancil. Kata Nani cukuplah untuk dia berulang-alik ke kelas. Dan Nani mempelawa dia menumpang kenderaannya.

Terasa agak lapang juga perasaan Yasmin kerana sekurang-kurangnya masalah pengangkutan hampir selesai. Bolehlah dia berkongsi kenderaan dengan Nani, membayar duit minyak dengan sahabat barunya itu. Tak perlulah Makcik Gayah risau nanti.

Minggu orientasi berakhir juga. Hujung minggu nanti bakal bermulalah kelas pertamanya. Dan secara rasmi, dirinya bakal bergelar pelajar IPT. Seperti biasa, Yasmin menghabiskan masanya di restoran Selera Kampung. Rutin kerja di restoran tetap dilakukan seperti biasa.

Jam sudah menunjukkan ke angka 3. Pelanggan di restoran Selera Kampung tidak begitu ramai. Hanya jam 4 nanti pelanggan akan kembali ramai, untuk minum petang. Yasmin masih lagi berteleku di kaunter.

Baru sahaja dia ingin membantu di belakang, tiba-tiba matanya terpandang Aliya melangkah masuk ke dalam restoran. Masih berbaju sekolah. Di belakangnya terlihat pula kelibat Muaz dan…Haris. Wajah anak gadis itu jelas mempamerkan riak keletihan.

“Kak Min…nak fresh oren satu! Adui letihnya hari ni..” Aliya meletakkan beg sekolahnya di atas meja makan tidak jauh dari kaunter. Tangannya mengipas-ngipas muka. Tidak lama kemudian, Muaz turut sama menarik kerusi di sebelah Aliya, diikuti Haris.

“Muaz nak air apa? Abang Haris?” Yasmin yang sudah mahu berlalu ke bahagian dapur sempat bertanya kepada dua beradik tersebut.
Haris seakan terkedu mendengar Yasmin membahasakan dirinya dengan panggilan abang buat pertama kali, sejak mereka kenal. Tidak pula kelihatan Yasmin janggal. Bagi Yasmin pula, dia sebenarnya berasa terhutang budi dengan kebaikan Haris. Jadi tak salah rasanya dia memanggil Haris dengan panggilan hormat itu.

“Muaz nak air sirap bandung”

“Abang nak air epal”

Yasmin terus berlalu ke bahagian dapur restoran, membuat pesanan. Kemudian dia kembali tempat makanan. Hari ini ada beberapa menu minum petang yang agak membuka seleranya, terutama laksa. Terasa perutnya berbunyi, tambahan dia belum makan tengahari lagi. Laju tangannya menceduk laksa dan mengisi ulam serta kuah.

“Min, bubuh untuk abang sepinggan.” Haris sudah menunggu di belakang Yasmin. Pinggan laksa yang sudah berisi kuah sebentar tadi terus dihulur kepada Haris. Dia kembali mencapai sebiji lagi pinggan untuk dirinya pula.

Mereka berempat duduk semeja. Kata Aliya hari ini sekolah sudah memulakan kelas tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar. Jadi dia dan Muaz terpaksa balik lewat tiga kali seminggu.

“Min, macam mana dengan minggu orientasi?” tiba-tiba Haris bersuara sambil membetulkan cermin matanya.

Aliya bergegas bangun sebaik sahaja fresh orange habis disedutnya. Mahu ke belakang katanya. Ke mana lagi kalau tidak di bilik Abang Mahmod. Bermain game di komputer. Muaz juga ikut bangun. Budak berdua itu ibarat kembar tak serupa. Perangai saja sama.

“Hmm.. bagus!” jawabnya ringkas sambil meneruskan suapan. Tinggal mereka berdua di meja makan itu.

“Bila kelas mula?” Haris memanjangkan bicara.

“Hujung minggu ni kelas pertama.”

“Macam mana pegi kelas nanti? Abang hantar?”

“Erm..tak payahlah kut. Min tumpang kawan!”

“Haaa…dah ada yang nak tumpangkan? Min biar betul, karang kamu kena jual,” Haris sudah menghentikan suapan. Matanya bulat memandang Yasmin.

Yasmin sudah mula tidak senang duduk. Apa salahnya dia menumpang Nani. Tambahan Nani pun sudah berkenalan dengan Makcik Gayah sewaktu menghantar dia ke restoran Selera Kampung kelmarin. Siap Makcik Gayah belanja Nani makan tengahari di restorannya itu!

“Kawan perempuanlah bang! Satu course dengan Min. Maklongpun dah kenal,” jawabnya perlahan.

“Hmmm…abang hantar kamulah first class tu!” tegas kedengaran suara Haris.

“Erk…dah janji dengan Nani, nak pegi saing dia,” balas Yasmin pula, takut-takut.

“Abang hantar! Nanti Aliya temankan sekali. Telefon kawan tu bagitau. Baru kenal, jangan mudah percayakan orang. Sebulan ni biar abang hantar dan ambil,” Haris kembali menyambung suapan. Menghabiskan laksa di pinggannya.

‘Dia nilah…pasal apa pulak sibuk nak hantar ambil.’ Gerutunya dalam hati.

“Kami semua bimbang keselamatan Min. Baru kenal seminggu. Kat KL ni macam-macam cara orang boleh tipu. Bukan abang kata kawan Min tu jahat. Tapi berhati-hatilah. Kenal dulu.” Haris bersuara bagai mengerti apa yang terlintas di fikiran Yasmin

Dalam keresahan itu, Yasmin mengakui ada benarnya kebimbangan Haris. Beruntung dirinya kerana berada dalam keluarga yang mengambil berat tentang dirinya.

“Ha… Min ada telefon tak? Bagi nombor Min kat abang. Nanti senang nak berhubung.” Haris sudah siap mengeluarkan telefon bimbitnya, bersedia untuk mencatat nombor Yasmin.

Terkedu Yasmin seketika. Teringat telefon bimbit pemberian Mak Tam yang tersorok di dalam beg kanvas yang disimpan dalam almari di biliknya. Patutkah telefon itu dihidupkan? Apakah yang bakal diketahuinya sebaik talian itu dihidupkan? Ah…mungkin sudah masanya dia ‘kembali’ semula ke saat enam bulan lepas. Atau wajarkan dia menukar kad sim yang baru?

“Ermm .. ada, tapi sim card tu dah tak elok kot? Min nak tukar nombor baru,” balasnya nekad.

“Kalau gitu takpe, nanti abang belikan sim card baru untuk Min. Makan cepat, kalau dah sudah kejap lagi kita balik. Abang nak hantar budak berdua ni. Min pun balik sama dia orang. Maklong pesan tadi,” Haris sudah bangun menuju ke belakang restoran. Pastinya memanggil kedua-dua orang adiknya itu!