Friday, February 19, 2010

Bahagia Milikku Jua 10

Sedar tak sedar sudah lebih dua bulan Yasmin bekerja di restoran Makcik Gayah. Dia sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan tugasnya. Tidak seperti di minggu awal, kelam kabut sungguh keadaannya. Apatah lagi di waktu tengahari, restoran tersebut bagai kena serbu. Yasmin yang tidak biasa dengan keadaan tersebut terasa panik mengambil order daripada pelanggan. Walaupun menu tengahari berupa nasi campur dan masakan kampung, tetapi restoran itu juga menyediakan masakan panas.

Mujurlah dia akhirnya dapat membiasakan dirinya. Sebulan sahaja dia bertugas sebagai pelayan, dia disuruh pula menjaga kaunter bayaran. Kali ini kerjanya lebih mudah, tetapi sudah pasti memerlukan dirinya bersikap amanah. Dia diperkenalkan sebagai anak saudara arwah suami Makcik Gayah. Jadi tiadalah pekerja lain yang mempertikaikan perubahan kerjanya.

Cuma yang membuatkannya teruja, Makcik Gayah menyuruhnya menyediakan sambal belacan untuk hidangan pelanggan. Kata Makcik Gayah sambal belacannya sangat sedap. Biasanya, sebaik sampai di restoran di awal pagi dia terus menyediakan sambal tersebut. Kisah bagaimana dia boleh mengambil tugas tersebut juga terjadi secara tidak sengaja. Kebetulan, satu hari yang sibuk, dia masuk ke dapur restoran menolong Mak Aton yang menjadi tukang masak lauk-lauk kampung. Dalam kelam kabut kekurangan kakitangan hari itu, Mak Aton memintanya membuat sambal belacan. Ramai pula pekerja di restoran dan pelanggan tetap Makcik Gayah memuji rasa sambal tersebut. Lalu sejak hari itu, menjadi tugas rasminya membuat sambal belacan untuk restoran Selera Kampung.

Sudah hampir dua bulan juga dia tidak melihat kelibat Haris. Kalau ada pun sekadar sekejap. Kata Aliya Haris sudah kembali menyambung pengajiannya untuk semester yang akhir. Tak sampai tiga bulan lagi Haris akan menamatkan pengajiannya.

“Min… hari ni kita balik awal sikit ye?” tiba-tiba suara Makcik Gayah mengejutkan Yasmin yang sedang mengira duit syiling di kaunter. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Sudah pukul 3.30 petang.

“Pukul berapa kita nak balik Maklong?” tanya Yasmin sambil memasukkan duit syiling mengikut nilainya di dalam cash machine. Dalam hati terfikir juga mengapa Makcik Gayah mengajaknya pulang awal. Biasanya mereka akan balik jam 5.30 petang. Mungkin Makcik Gayah ada hal barangkali.

“Hmm… sekejap lagi kita geraklah. Maklong nak ke pasar raya sekejap. Nak beli barang sikit. Nanti suruh Mahmod ganti tempat Min,” balas Makcik Gayah.

Yasmin segera beredar ke bahagian ruang pejabat yang terletak di belakang restoran, mencari Mahmod, yang merupakan anak saudara arwah isteri Pak Mus. Di situlah biasanya Mahmod membuat kerjanya; merancang menu dan menyiapkan akaun restoran.

Mahmod sudah pun beristeri dan mempunyai seorang anak perempuan. Isterinya, Saleha seorang surirumah sepenuh masa. Ada juga dia datang menolong di restoran Selera Kampung, kalau kebetulan ramai pekerja bercuti.

“Abang Mahmod, hari ni Min balik awal. Maklong ada hal, ajak Min sekali. Maklong mintak abang jaga kaunter,” beritahu Yasmin.

Mahmod yang sedang tekun di depan komputer berkalih pandang ke arah Yasmin. Biarpun Yasmin masih baru di situ, tapi dia suka dengan sikap Yasmin yang ringan tulang dan boleh diharap.

“O..ok. Nanti abang ke depan lima minit lagi. Min tunggu sekejap boleh? Abang nak sudahkan kerja sikit saja lagi,” ujarnya kembali menghadap komputer.

“Ok, bang. Min ke depan dulu,” ujar Yasmin sambil berlalu semula ke kaunter.

Sempat melayani seorang dua pelanggan sebelum Mahmod muncul.

Yasmin mencapai beg galasnya lalu menuju ke kereta yang diparkir di bahagian belakang restoran. Dilihatnya ada seseorang di dalam kereta Makcik Gayah. Hatinya berdetak sendiri, siapa ye?

Sedang dia tercangak-cangak, tiba-tiba Makcik Gayah menepuk bahunya.

Dia yang terperanjat terus berpaling sambil mengurut dada.

“Kenapa kamu tak masuk terus dalam kereta? Kan ada Haris tu?” Makcik Gayah bersuara sambil melangkah menghampiri pintu di sebelah penumpang hadapan.

Yasmin hanya mendiamkan diri sambil mengekori Makcik Gayah. Tangannya pantas membuka pintu tempat duduk belakang.

Haris melemparkan senyuman tatkala matanya bertatapan dengan Yasmin di cermin pandang belakang kereta.

Yasmin hanya memandang dengan perasaan yang tidak menentu.

“Macam mana pulak mamat ni boleh ada kat sini. Kata duk kolej” Yasmin tertanya sendiri di dalam hati.

“Kamu dah makan Ris? Mak long tak nampak kamu masuk ke restoran tadi,” Makcik Gayah bersuara memecah kebisuan.

“Dah makan kat kolej tadi. Takut lambat. Tu yang Ris terus ke belakang lepas ambil kunci kat Abang Mahmud tadi,” balas Haris sambil tangannya cekap memutarkan stereng kereta.

“Maklong nak pegi mana ni?” tanya Haris sambil memandu tenang.

“Hmm..ingat nak ke pasaraya Giant. Nak beli barang untuk kenduri arwah malam esok. Kamu takde kelaskan esok? Maklong ingat nak buat kenduri arwah untuk paklong dan mak kamu. Dah kebetulan malam esok malam Jumaat.”

“Minggu depan baru ada Maklong. Eloklah tu. Lagipun dah lama kita tak buat kenduri di rumah kita. Boleh jamu jiran-jiran dan orang surau,” jawab Haris sambil membelok ke simpang masuk ke pasaraya Giant di Taman Permata. Dekat dengan rumah mereka di
Wangsa Melawati.

Yasmin menjadi pendengar setia di belakang. Entah mengapa setiap kali berdepan dengan Haris dia seolah-olah termati bicara. Memang terasa sungguh malu. Memang dia dididik begitu oleh arwah ibunya. Amat jarang dia keluar rumah waktu di kampung dahulu. Ada tak ada, ke rumah Rini. Itu pun selalunya sahabat baiknya itu yang datang menjemput. Cuma dalam sifat pendiam dan pemalunya itu, siapa sangka akhirnya dia boleh membawa diri ke kotaraya Kuala Lumpur sendirian!

“Min…jauh dah sampainya tuh!” tiba-tiba dia dikejutkan oleh sapaan Haris.

Makcik Gayah yang berdiri di tepi pintu kereta sudah tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

“Hai, jauh betul mengelamun budak bertuah sorang ni.. Maklong panggil banyak kali dia boleh buat selamba je,” ujar Makcik Gayah sambil ketawa kecil.

“Ala, maklong mesti ingat kat buah hati tu. Dengar Ris panggil baru dia perasan,” sampuk hari tumpang sekaki ketawa.

Yasmin sudah merah padam mukanya. Hendak tak hendak terpaksa menarik sengih. Segera langkah kaki dihayun membuntuti Makcik Gayah ke dalam pasaraya.

Dari satu lorong ke satu lorong mereka masuk mencari bahan-bahan yang diperlukan. Haris masih setia menolak troli. Sesekali cuba mengajak Yasmin berbual, tapi sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab Yasmin. Itu pun bimbang nanti Makcik Gayah menganggapnya sombong.

“Min tunggu sini. Sambil tu ambilkan barang ikut senarai ni. Semua kat lorong ni. Maklong nak pergi kat tempat sejuk beku sekejap,” ujar Makcik Gayah sambil berlalu meninggalkan Yasmin dan Haris.

Yasmin segera melangkah sambil tangan mencapai barang dalam senarai yang diberikan. Haris masih setia mengikut dari belakang sambil menolak troli.

“Min, bila nak mula study?” tanya Haris tiba-tiba.

Yasmin yang sedang mencapai tepung gandum, terhenti pergerakannya.

“Hmm..entah!,” balasnya ringkas.

“Lah, ada pulak entah-entah. Kata Maklong hari tu, Min nak sambung belajar kalau dah kerja. Ni dah dua bulan lebih dah kerja.” Haris menyambung kata

Yasmin meneruskan langkahnya mencapai lagi barang-barang di lorong yang sama.

“Min..abang tanya ni...,” tegur Haris lembut.

“Hmm..Saya memang tak tahu. Lagipun banyak benda nak kena settle. Sijil saya hilang. Lagipun mesti nak guna duit banyak untuk daftar. Biarlah saya kumpul duit dulu,” balas Yasmin perlahan. Segan sebenarnya mahu bercerita panjang.

Haris yang mendengar jawapan Yasmin, terdiam seketika.

“Sijil yang hilang tu boleh kita dapatkan semula. Nanti abang tolong. Tentang belanja tu insya-Allah, maklong boleh bantu. Min buka mulut dulu je kat maklong.”

Mintak tolong lagi dengan maklong.. hmm..rasanya sudah cukup dia menyusahkan Makcik Gayah. Biarlah dia menabung dahulu sedikit daripada upah yang diterimanya. Dah cukup nanti baru dia akan sambung belajar. Sekarang pun sudah ada RM1000 duit simpanannya tak masuk baki yang dibekalkan oleh Mak Tam. Cukup-cukuplah bantuan yang diberikan oleh Makcik Gayah kepadanya.

“Takpelah. Belajar tu kemudianlah. Tak nak susahkan maklong lagi. Dah banyak pertolongan maklong,” balas Yasmin.

Haris hanya memerhatikan sahaja gelagat Yasmin yang masih mencapai barang-barang yang ingin dibeli oleh ibu saudaranya. Entah mengapa hatinya terasa semakin terpaut dengan gadis berkulit kuning langsat itu. Isk..sudah jatuh cintakah dia?

“Tak mungkin…” bisiknya perlahan.

3 comments:

adzmarfazami said...

at last kak! huhuhu.. puas nunggu..
cpt2 sambung next n3

akak said...

Hhehehe..adik akak ni..mmg jd pembakar semangat sungguh!! insya-Allah..nnti akak cuba update secepat mgkin

Anonymous said...

oh cuyah..akhirnya..ada juga sambungannya..lame dah tak update..