Thursday, December 31, 2009

Bahagia Milikku Jua 7

Diam tak diam sudah hampir seminggu Yasmin berada di rumah itu. Serba sedikit sudah diketahui kehidupan Makcik Gayah. Selain gerai di Puduraya, Makcik Gayah juga mempunyai sebuah restoran. Adik lelakinya yang menguruskan setelah arwah suami Makcik Gayah meninggal dunia dua tahun lalu.

Pak Mustafa, adik Makcik Gayah yang dipanggil Pak Mus, tinggal di sebelah rumah Makcik Gayah bersama dua orang anaknya, Haris dan Muaz. Isteri Pak Mus, sudah lama meninggal dunia, sejak Muaz masih kecil. Kadang kala Bik Ani, pekerja di restoran Makcik Gayah akan datang ke rumah untuk mengemas atau membantu apa yang patut.

Sejak tinggal di situ juga, sudah dua tiga kali dia ternampak Haris, tapi tidak pula pernah bertegur sapa. Muaz masih bersekolah, dalam tingkatan lima. Manakala Haris rupa-rupanya pelajar tahun akhir IPT. Itupun diketahuinya dari celoteh Aliya yang memang rajin bercerita. Biarpun agak becok, tapi Yasmin menyukai Aliya. Ibarat adik yang tidak pernah dimilikinya. Dia tidak berasa kesunyian di rumah itu.

Buat masa ini Yasmin menolong Makcik Gayah di rumah sahaja. Menolong membereskan kerja-kerja rumah. Lebih selesa begitu. Dia pun bukanlah jenis yang suka keluar merambu. Tidak terasa terkongkong, malah terasa lebih selamat. Sebenarnya dalam hati, dia bimbang andai ayah atau Pak Tam menjejakinya.

Lagipun gerai di Puduraya itu ada pekerja yang diupah Makcik Gayah. Cuma pada hari dia tiba, pekerja Makcik Gayah cuti sakit. Kebetulan Haris sedang bercuti, dia ikut membantu.

Pagi itu, seperti biasa selesai mengemas rumah, Yasmin keluar menyidai pakaian. Agak banyak juga yang dibasuh pagi itu. Selain pakaian, Makcik Gayah memintanya membasuh langsir yang sudah berabuk. Tidak cukup ampaian yang biasa digunakan. Terpaksa menyidai di pagar sempadan rumah Makcik Gayah dan Pak Mustafa.

Baru sahaja menyangkut sehelai langsir di pagar, tiba-tiba dia terkejut apabila pintu belakang rumah Pak Mus terbuka. Terjengul Haris yang berpelikat di pintu dengan bakul pakaian di tangan. Masing-masing saling terpempam.

Yasmin segera berlalu dari pagar, membelakangkan Haris. Terasa segan pula melihatkan Haris yang tidak berbaju. Biarlah dia masuk ke rumah dahulu. Kerja menyidai akan disambung kemudian.

Memang sejak tinggal di situ, belum pernah sekalipun dia berbual dengan Haris. Tidak ada apa yang hendak dibualkan. Haris lelaki, dia perempuan. Kalau Haris sama sepertinya boleh juga dibuat kawan.

Baru sahaja dia mahu melangkah masuk ke rumah, tiba-tiba namanya dipanggil. Terkejut. Lantas dipalingkan wajah ke arah suara yang memanggil. Hariskah? Takkanlah…Bukan pernah bersembang pun. Lagipun apa perlu memanggilnya. Segera dipalingkan semula wajahnya dan bersedia untuk melangkah masuk.

“Yasmin, tunggu sekejap..Ni, abang nak bagi barang ni..”

Abang??? Terpempan seketika mendengar Haris membahasakan dirinya sebegitu. Jangan kata berborak, bertegur sapa pun tak pernah.

Dalam serba salah, Yasmin menoleh semula dan melangkah perlahan ke arah pagar. Di lihatnya Haris sudah menutup tubuhnya dengan tuala mandi. Ditangan Haris kelihatan sesikat besar pisang nangka.

Yasmin segera menyambut huluran daripada Haris. Pisang sudah bertukar tangan, tapi Yasmin tetap mendiamkan diri. Tak juga bertanya apa-apa tentang buah tangan yang diberikan. Namun, sebelum melangkah meninggalkan Haris, ucapan terima kasih terlafaz juga. Tak sampai hati pula untuk berlalu begitu sahaja. Sekurang-kurang masih teringat adab sopan. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

*************

Yasmin baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor apabila mendengar suara memberi salam. Terkocoh-kocoh dia menyimpan telekung dan menyarung tudungnya, sebelum turun ke ruang tamu. Makcik Gayah, Aliya dan Muaz sudah balik dari sekolah rupanya. Makcik Gayah memang menghantar dan menjemput Aliya dan Muaz setiap hari. Kecuali kalau ada urusan, barulah Pak Mus mengambil alih. Ataupun pekerja Makcik Gayah.

Yasmin segera membuka grill membolehkan mereka masuk.

Seperti biasa Makcik Gayah terus ke dapur. Ingin menyediakan makan tengahari. Begitulah kalau tidak sempat memasak di waktu pagi, sekembalinya daripada mengambil Aliya dan Muaz, Makcik Gayah akan segera memasak.

Baru sahaja dia mahu membuka peti sejuk, dilihatnya makanan sudah terhidang di bawah tudung saji di atas meja makan. Makcik Gayah tidak jadi membuka peti.

Yasmin yang mengekorinya sedari tadi hanya mendiamkan diri di tepi meja makan.

“Min masak ke?” tanya Makcik Gayah sambil membuka tudung saji. Dilihatnya ada masak lemak pucuk paku, ayam masak kicap, ikan goreng dan sepiring sambal belacan serta ulam timun sudah terhidang.

“Iye, makcik. Tapi tak tahulah kena tidak dengan selera Makcik dan Liya,” jawabnya perlahan.

“Waa.. Kak Min masak apa nih? Sedapnya bau…” tiba-tiba si Aliya muncul di belakangnya sambil memeluk bahunya.
“Abang Muaz..cepatlah, jom kita makan! Aliya dah tak tahan lapar dah ni,” jerit Aliya, kemudian tersengih memandang ibunya.

Makcik Gayah terus mengambil pinggan dan menceduk nasi. Dia sudahpun menunaikan solat Zohor di surau tadi bersama anak dan anak saudaranya. Yasmin mengambil jag berisi air oren di dalam peti lalu dibawa ke meja makan.

“Muaz pergi panggil Abang Long kamu, ajak makan sekali. Kak Yasmin dah masak nih,” Makcik Gayah memberi arahan kepada Muaz yang baru saja melangkah ke ruang makan.

Muaz tidak jadi masuk ke dapur. Tangannya menyeluk poket seluarnya mengeluarkan telefon bimbit. Malas dia mahu ke rumahnya. Lagipun inilah kegunaan teknologi moden!

Tak sampai sepuluh minit, kelihatan kelibat Haris di muka pintu rumah Makcik Gayah. Entah mengapa dada Yasmin terasa bergetar tatkala matanya bersabung pandang dengan anak mata Haris…

3 comments:

OrEnTaLeZ said...

maka ber mulalah~ bibit2.... ten3..=)

Umi of three Nurul (UotN) said...

oren..
agaknyalah tu.. wink2

MissNera said...

okeh kak.. teruja ni...
cepat sambung!! hehe