Yasmin segera mengemas meja makan. Semua pinggan kotor dibawa ke singki. Meja makan sudah siap dilap. Kosong. Dia beralih ke singki, mencuci pinggan-pinggan kotor. Pada mulanya Makcik Gayah yang ingin membuatnya tetapi dihalang Yasmin. Kesian melihat Makcik Gayah yang keletihan. Lagipun dia tidak ada perkara lain yang hendak dibuat, lalu disuruh Makcik Gayah naik berehat.
Tiba-tiba terdengar kerusi di tarik. Pantas dia menoleh. Aliya tersengih memandangnya. Aliya meletakkan buku latihan matematik di atas meja lalu melabuhkan punggungnya. Ingin membuat kerja sekolah. Entah apa angin agaknya si Aliya hari ini, memilih ruang makan untuk belajar.
Yasmin menyudahkan basuhannya. Kemudian mengelap tangan pada tuala kecil yang tergantung di peti sejuk.
“Aliya nak minum?” dia bertanya apabila dilihatnya Aliya menggaru-garu kepala sambil membelek-belek mukasurat bukunya.
‘Hmm..taknaklah, kenyang,” balas Aliya, tanpa memandang wajah Yasmin.
Baru sahaja Yasmin ingin melangkah naik ke biliknya, Aliya bersuara. Terhenti langkahnya.
“Kak.. cuba tengok ni. Akak boleh ajar tak?” tanya Aliya sambil tangannya menunjukkan ke arah soalan yang dimaksudkan.
Yasmin teragak-agak menghampiri. “Masih ingatkah lagi? Hmm..takpe cubalah dulu tengok,” hatinya berkata-kata.
Ditariknya kerusi bersebelahan Aliya. Segera dia meneliti soalan yang ditanya. Lantas tangannya melakarkan jalan kerja dan mulutnya memberi penerangan kepada Aliya. Terangguk-angguk Aliya yang mendengar.
“Cuba Aliya cek jawapannya. Betul tak? Kak Min sebenarnya ingat-ingat lupa tajuk ni,” arah Yasmin kepada Aliya.
Aliya membelek di bahagian belakang buku kerjanya dan mencari jawapan.
“A’ah..betullah kak. Eii.. terorlah akak!” ceria kedengaran suara gadis itu.
“Wah! Macam ni bolehlah Liya tanya akak selalu ye?” teruja Aliya bertanya.
Yasmin hanya tersenyum memerhatikan gelagat Aliya. Ditepuk mesra bahu gadis itu.
“Ala..Kak Min bukan teror sangat pun. Mana yang ingat tu boleh lah! Lebih baik tanya pada yang lebih pandai,” balas Yasmin.
Tidak disedarinya Haris yang memerhatikan gelagatnya bersama Aliya. Banyak sebenarnya yang ingin diketahui Haris mengenai Yasmin. Tapi peluang untuk berbicara dengan gadis itu masih belum terbuka. Dia yakin Yasmin tidak sedar yang dia masih lagi berada di ruang tamu rumah Maklongnya. Kalau tidak, memang susah hendak mendengar suara gadis itu. Apa akalnya untuk bersembang dengan Yasmin?
Perlahan-lahan dia bangkit menuju ke dapur. Yasmin masih lagi memerhatikan Aliya yang tekun menyelesaikan soalan matematiknya.
“Hmm..Min. Boleh buatkan abang kopi?” dia bersuara perlahan.
Yasmin yang sedang tunduk, segera mengangkat wajahnya. Tangannya mengurut dada tanda dia benar-benar terkejut.
Melihat kelakuan Yasmin, Haris tersengih. Lucu pula melihat Yasmin begitu. Aliya sudah tergelak kecil.
“Sorry, abang tak sengaja,” ujarnya masih lagi tersengih memandang Yasmin.
“Ishk..ishk..dia nilah! Nasib baik aku tak melatah,” rungutnya dalam hati. Wajahnya selamba memandang Haris, namun debaran masih terasa. Betul dia terkejut.
Segera dia bangun menuju ke kabinet dapur. Dikeluarkan serbuk kopi dan gula. Dicapai teko dan mug di dalam kabinet. Sekejap saja sudah siap seteko kopi.
Haris sudah melabuhkan punggungnya di meja makan berhadapan Aliya. Terus sahaja Yasmin meletakkan mug di atas meja dan menuangkan air kopi yang dibancuhnya. Teko diletakkan di hadapan Haris.
Yasmin sudah berkira-kira mahu naik ke biliknya. Segan pula rasanya untuk terus duduk di ruang makan itu, sementelah Haris ada di situ.
“Kak Min..duduklah dulu. Teman Liya buat kerja sekolah ni. Kalau tak tahu, senang Liya nak tanya,” Aliya bersuara manja. Dia tahu Yasmin serba salah. Dan dia juga perasan abang Harisnya ingin berbual dengan Yasmin. Kalau tidak, masakan abang Harisnya itu tak balik-balik dari tadi!
Yasmin sudah serba tak kena dibuatnya. Kalau diikutkan hatinya memang dia ingin berlalu ke biliknya. Tapi permintaan Aliya, mematikan langkahnya.
“Ha..Min duduklah dulu. Kenapa tercegat aje?” Haris bersuara sambil tersenyum ke arahnya.
“Duduklah dulu. Kita tak pernah pun bersembang,” sambungnya lagi apabila dilihat Yasmin masih berdiri di belakang Aliya.
Perlahan-lahan Yasmin melabuhkan punggungnya di sebelah Aliya. Matanya menuntas pandang ke mukasurat buku Aliya.
“Min asal mana?” Haris bersuara. Matanya berlabuh di wajah gadis di hadapannya itu.
“Kedah” jawab Yasmin sepatah. Ada perasaan kurang senang sebenarnya diperhati begitu. Dia hanya mengerling sekilas pandang ke wajah Haris. Sempat ditangkap senyuman Haris.
Segera ditundukkan kembali wajahnya.
“Pisang tadi tak buat apa-apa ke?” tanya Haris tiba-tiba.
Pisang?? Pisang apa pulak nih..Yasmin blur.
“Pisang nangka tadi. Tak goreng ke?” tanya Haris, cuba mengingatkan Yasmin.
Eiii..mamat ni lah, perut stokin ke apa. Takkan tak kenyang lagi kot. Yasmin mengutuk dalam hati.
“Belum. Petang nanti kot. Tanya makciklah, kot dia nak buat benda lain,” Yasmin menjawab perlahan.
Aliya yang mendengar perbualan Haris dan Yasmin terasa hendak ketawa. “Apalah Abang Haris ni.. kut iye pun nak bersembang, habis segala pisang bagai ditanyanya,” kutuknya di dalam hati.
“Saya nak ke belakang. Nak kutip kain di ampaian,” Yasmin bersuara tiba-tiba dan bangun meninggalkan meja makan.
Haris terkulat-kulat memandang ke arahnya.
Sebaik Yasmin hilang di balik pintu dapur, Aliya melambakkan tawanya.
“Apalah abang ni? Keluar soalan pisang bagai. Tak releven langsung nak mengayat awek,” Aliya masih menghamburkan tawa.
Haris ikut sama tergelak. Mukanya sudah kemerah-merahan..Blushing!!!
Friday, January 8, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment