Thursday, March 4, 2010

Bahagia Milikku Jua 13

Diam tak diam, sudah enam bulan Yasmin berada bersama keluarga Makcik Gayah. Enam bulan yang menyaksikan dia kembali cuba membina kehidupannya. Melupakan segala kepahitan yang dialami, namun tetap terbetik rasa rindu terhadap tanah kelahirannya. Kerinduan terhadap rumah peninggalan arwah ibu. Kerinduan juga buat si ayah biarpun ayahlah pencetus tragedi pahit hidupnya. Namun tak terlupakan olehnya kasih ayah yang pernah tercurah buatnya. Hanya kerana duit, ayah gelap mata!

Ramadan yang bakal menjelma tak sampai seminggu lagi, turut mengundang perasaan sayu di hatinya. Pastinya dia tidak dapat lagi merasakan keseronokan berterawih bersama ibu dan Rini di surau. Dan makan moreh juga.

“Rini…apa khabar engkau Rin. Apa khabar Mak Tam?” dia mengeluh lagi.

Selama ini bukan tidak pernah ada secarik rindu buat sahabat baiknya itu. Bukan tidak pernah terlintas untuk merisik khabar, namun dia masih terlalu takut. Takut kalau jejaknya dapat dikesan. Tidak pernah sekalipun telefon yang dibekalkan Mak Tam dibukanya. Biarlah jejaknya tak bertapak. Hilangnya tak terkesan. Biarlah dia membina kekuatan terlebih dahulu agar nanti dia bisa bangkit teguh berdiri mempertahan diri.

“Min..kamu dah makan?” teguran Makcik Gayah mematikan lamunan Yasmin. Suasana restoran Selera Kampung agak lengang kala ini. Yasmin masih tercongok di kaunter pembayaran setelah agak sibuk melayan pelanggan.

“Kenyang lagi maklong,” balasnya.

“La..kan dah pukul tiga lebih ni. Pergi makan cepat..nanti masuk angin perut kamu tu. Biar Maklong jaga kaunter!” gesa Makcik Gayah. Faham benar dengan tabiat Yasmin yang ‘susah makan’ kalau tak dipaksa.

Lambat-lambat Yasmin beredar ke tempat lauk-pauk disusun. Masih ada lagi walaupun tidak sebanyak waktu tenghari. Masak asam pedas ikan pari membuat dia menelan liurnya. Kecur terasa. Lalu segera diceduk sedikit nasi dan dimasukkan ke dalam pinggan.

“Hai..baru nak makan? Bubuh sepinggan untuk abang sekali boleh?”

Tersentak dia mendengar suara dari orang yang berdiri di belakangnya. Terhenti pergerakan tangannya yang ingin menceduk lauk. Siapa lagi kalau bukan si Haris yang telah menamatkan pengajian dan kini sudahpun bergelar jurutera di sebuah syarikat telekomunikasi.

Yasmin meletakkan pinggan nasinya. Dicapai sebiji pinggan lalu menceduk nasi untuk Haris. Pinggan bertukar tangan. Segera Yasmin menyambung pergerakannya yang terbantut tadi. Sekeping ikan pari dimasukkan ke dalam mangkuk. Kemudian diambil sebuah lagi mangkuk kecil mengisi sambal belacan dan ulam-ulaman. Dia kemudian berlalu ke meja di bahagian belakang. Setelah membaca doa dia mula menyuap nasi perlahan-lahan.

Haris menarik kerusi di hadapan Yasmin dan melabuhkan punggungnya. Pinggan nasi diletakkan di atas meja dan seketika dia dengan selamba menyuap nasi tanpa bersuara. Yasmin yang terkejut dengan tindakan Haris diam tak terkata. Rasa hendak tercekik dibuatnya dengan sikap selamba mamat yang seorang ini!

Kedatangan pelayan yang membawa air minuman untuk mereka berdua, mematikan rasa terkejut Yasmin. Dua gelas air kosong diletakkan di atas meja. Yasmin pasti Haris yang meminta daripada Abang Mat di dapur tadi.

Haris yang tekun menyuap nasi baru terperasan Yasmin yang sudah statik merenungnya.

“Makanlah.. apasal pandang abang macam nak telan?” ujarnya mengusik Yasmin.

“Awak buat apa kat sini?” Yasmin tidak menghiraukan usikan Haris. Sebaliknya dia melontarkan pertanyaan kepada jejaka itu.

“La..kan abang tengah makan?” balas Haris selamba.

“Saya tau dan saya nampak. Tapi kenapa awak dekat sini, waktu ni?” ujar Yasmin menekan perkataan waktu ini!

“Abang ada kerja luar tadi. Kebetulan lalu sini, singgahlah. Tadi tak sempat makan tengahari, so here I am.”

Kedua-dua mereka mendiamkan diri sambil menyambung suapan. Yasmin sudah terasa hilang selera. Mujurlah nasi dan lauk yang diambil sedikit cuma, dapatlah juga dia menghabiskan makan tengaharinya.

Sebaik menghabiskan suapan terakhir, terus dia ke singki membersihkan tangan. Haris turut membuntutinya. Baru saja dia ingin kembali ke kaunter bayaran, Haris sudah menahannya.

“Duduk dulu Min. Abang ada perkara nak cakap sikit dengan Min,” tegas kedengaran suaranya. Yasmin yang ingin berlalu, kembali melabuhkan punggungnya di hadapan Haris.

“Dah lama juga Min kerja. Apa, Min tak nak sambung study ke? Abang rasa elok kalau Min nak sambung,”

Errkk…sambung belajar? Memang itulah yang diidamkannya, tapi mampukah dia menanggung segala keperluannya nanti. Rasanya sudah tak terdaya lagi dia ingin menyusahkan Makcik Gayah yang banyak berjasa kepada dirinya. Mungkin dua tiga bulan lagi ataupun tunggu sahaja semester baru tahun hadapan. Bukan lama mana pun lagi. Sempat dia menyimpan duit lebih sedikit untuk pengajiannya nanti.

“Hmm..tak pasti lagi. Biarlah dulu,” ujarnya ringkas.
“Kalau Min nak sambung elok apply sekarang. Borang dah keluar pun. Abang dah tengok dalam internet.”

Yasmin diam tak terkata. Hati melonjak ingin mengiyakan, namun kemampuan dirasakan terbatas.

Haris masih memerhatikan Yasmin yang membatukan diri di hadapannya.

“Min..apa masalah Min, kalau boleh abang tahu? Tak cukup duit ke? Takde sijil? Sijil tu jangan risau, bila-bila kita boleh pergi ambil salinannya. Kalau hal duit, abang ada sesuatu nak cadangkan pada Min.”

Yasmin mendongak memandang wajah Haris. Dapat dilihat kesungguhan lelaki di hadapannya itu. Dia masih diam tidak berkutik.

“Hmm…macam ni. Kalau Min nak sambung, abang akan bayarkan duit yurannya,” ujar Haris tenang.

“Jangan! Min tak nak menyusahkan awak,” pantas Yasmin mencelah.

“Min..cuba dengar dulu cadangan abang!” tegas, Haris bersuara.

Yasmin menggeleng kepala dan ingin membangkang, namun melihat Haris sudah mengangkat tangan, memaksanya mendiamkan diri.

“Macam ni, abang bayarkan duit yuran pendaftarannya. Gaji Min, boleh Min gunakan untuk perbelanjaan atau tampung bayaran selebihnya. Nanti semester akan datang Min boleh mohon pinjaman.”

“Min tak boleh terima. Min tak nak menyusahkan sesiapa. Cukuplah awak sekeluarga bantu Min selama ini..” Yasmin bersuara perlahan.

“Min..kami semua dah anggap Min ahli keluarga kami. Jadi tak salahkan kalau abang bantu Min. Macam nilah, Min anggap duit abang beri ni sebagai pinjaman. Nanti bila dah kerja esok, Min bayar balik!” Haris memujuk lembut.

Yasmin sudah tidak terkata. Dirasakan tawaran Haris itu sangat menarik untuk dilepaskan. Namun serba salah pula untuk menerima, bimbang menyusahkan.

“Min fikir dulu..jangan menolak dulu. Tapi abang harap Min pertimbangkan sebaiknya. Untuk kepentingan masa depan Min jugak!” pujuk Haris lembut.

“Baiklah, Min akan pertimbangkan. Terima kasih,” balas Yasmin setelah agak lama berdiam diri.

"Nanti bila Min dah bersedia bagi tahu abang keputusan Min. Tapi abang harap Min terima cadangan abang. Ha..nanti abang bawak Min pergi ambil salinan sijil-sijil Min. Oklah, abang pergi dulu," ujar Haris sambil bangkit dari kerusi yang didudukinya.

"Insya-Allah. Terima kasih awak!". Hanya itu yang mampu diucapkan kepada pemuda tersebut.

2 comments:

adzmarfazami said...

salam kak....

baik sungguh hati haris! =]
romantik!!

akak said...

baik ada makna kot!!! hahaha