Wednesday, December 9, 2009

Bahagia Milikku Jua.

Tubuhnya masih menggeletar. Rasa takut menguasai dirinya. Tapi anehnya, terasa kelegaan yang sukar diungkapkan. Sesungguhnya dia masih terselamat daripada menjadi mangsa si tua kutuk tak sedar diri itu.

Namun perasaannya kembali bergolak. Ke mana harus dituju? Malam pekat dengan hujan renyai-renyai begini, pasti mengundang bahaya lain. Hatinya nekad, biarlah dimakan binatang buas sekalipun, asal
dirinya tidak menjadi mangsa nasfu buas si tua kutuk itu.

Langkah kaki terus diatur membelah kepekatan malam. Baju kurung dan tudung yang dipakainya semakin lencun disimbah hujan. Semilir yang bertiup lembut semakin membuatkan dirinya dicengkam kedinginan. Dipeluk erat beg kanvas yang dibekalkan kepadanya.

Langkah gontai diatur ke wakaf kecil yang terletak tidak sampai 50 meter di hadapannya. Ingin berteduh seketika di situ. Pandangan di hala ke belakang. Dia yakin tidak ada sesiapa yang mengekorinya. Lagipun sudah hampir 3 jam dia meninggalkan rumah yang dianggap neraka itu.

Dilabuhkan punggungnya di wakaf itu. Pastinya tempat orang menunggu bas. Dihela nafas melepaskan lelah. Sambi itu hatinya berdoa agar ada kenderaan yang akan lalu di situ untuk ditumpangi ke bandar. Membawanya jauh dari neraka dunia itu. Matanya semakin layu akibat keletihan yang dirasai. Seketika, peristiwa selepas Isya' tadi terlayar di mindanya.

"Min, ambil beg ni cepat. Jangan tanya apa-apa. Mak Tam dah siapkan segalanya. Cepat Min, tukar baju dengan Rini. Lepas ni ikut Mak Tam jumpa Budin. Dia akan bawak Min keluar. Cepat!!" Suara wanita yang dipanggil Mak Tam itu kedengaran gugup. Mata Mak Tam melingas memandang sekeliling.

Di luar kedengaran suara tetamu yang semakin riuh memenuhi ruang tamu.

Segera dilondehkan baju kebaya berwarna krim bersulam yang dipakainya sejak Maghrib tadi. Hanya tinggal mereka bertiga di dalam bilik tersebut. Dua tiga orang perempuan yang menemaninya tadi, disuruh keluar oleh Mak Tam. yasmin menyarung baju kurung kelabu dan tudung hitam milik Rini, manakala Rini menyarung kebaya Yasmin. Mak tam yang membelakangi mereka berdua masih terintai-intai kelibat Budin di celah pintu yang dibuka sedikit.

"Dah sedia Min?" tanya Mak Tam sambil memegang tangan Yasmin
"Dah Mak Tam," cemas Yasmin menjawab.
"Jom.."

Yasmin meleraikan pegangan tangan Mak Tam. Tubuh Rini dipeluk erat.
"Terima kasih Rini. Kau tak apa-apa ke?" Yasmin tidak dapat membendung kebimbangan.
"Kau pergilah. Jangan risau. Aku tak apa-apa. Tahulah aku nanti. Kau tu, selamatkan diri dulu."
Rini meleraikan pelukan sahabatnya itu.

Mak Tam segera memaut bahu Yasmin. Mulutnya terkumat-kamit membaca sepotong ayat daripada Surah Yaasin. Memohon agar mereka berdua dapat keluar dari bilik itu tanpa mengundang perhatian orang.

Semua sudah diaturkan sejak petang semalam. Sebaik dia membawa keluar Yasmin, dua orang sahabatnya serta Mak Andam akan masuk dan menunggu Rini.

Sebaik pintu bilik dibuka, Mak Tam terus memimpin Yasmin keluar menerusi pintu dapur. Budia sudah sedia menunggu di sebalik semak tidak jauh dari rumah tersebut. Malam yang gelap tanpa bula dan hujan renyai-renyai memudahkan rancangan mereka.

"Budin, Mak Tam percaya dengan kau. Kau bawak Kak Yasmin kau keluar dari kampung. Tapi kau cepat balik sebelum orang lain syak," pesan Mak Tam kepada Budin.

"Min, bila keluar dari kampung ni, Min kena jalan kaki ke kampung Hulu. Dalam beg tu Mak Tam dah siapkan lampu picit dan pisau. Semua keperluan ada di dalam tu. Telefon pun Mak Tam letak. Tapi Min jangan hubungi sesiapa dulu sampai Min betul-betul selamat. Pandai-pandai Min lah. Ini saja yang mampu Mak Tam buat. Pergi cepat dan hati-hati!" ujar Mak Tam sambil memeluk Yasmin buat kesekian kalinya.

Budin sudah menghidupkan motosikalnya. Yasmin tanpa berfikir panjang terus membonceng. Budin memecut motosikal membelah kepekatan malam.

******************************************

Sedar tak sedar, Yasmin kini sudah berada di atas bas ekspress menuju ke ibu kota. Biarpun masih samar-samar, namun dia rela memperjudikan nasibnya meninggalkan bumi kelahirannya. Hanya doa yang mampu dipanjatkan agar mentari bahagia akan menyinari kehidupannya.

Dia amat berterima kasih kepada Mak Tam yang menyediakan keperluannya. Pakaian, telekung, duit sebanyak RM500 dan telefon bimbit. Juga kad pengenalannya. Entah bagaimana akan dibalas jasa madunya itu. Begitu juga Rini, sahabat baiknya yang juga anak tirinya. Ngeri memikirkan apa yang akan dilalui oleh Rini dan Mak Tam kerana menyelamatkan dirinya daripada nafsu buas seorang lelaki.

"Maafkan Min, Rini. Maafkan Min, Mak Tam. Min tahu Min sudah menyusahkan Mak Tam dan Rini," jeritnya dalam dalam hati. Air mata gugur membasahi pipi mulusnya.

Sepanjang perjalanan Yasmin sukar melelapkan mata, biarpun badannya terasa amat letih. Namun dipaksa fikirannya agar beku dan tidak memikirkan apa yang bakal terjadi esok. Matanya dipejamkan, sambil berdoa agar dirinya diulit lena yang indah.

Bas Ekspress Kota terus meluncur laju di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, membelah kepekatan malam.









1 comments:

OrEnTaLeZ said...

waa...
hmm..madu? maknanya min dah kahwin la ngan org tua tu. ingat dia lari sblum akad nikah.haish..xpe2..bahagia milikmu jua min. hehe. to akak! u r the best. thumbs up! hee