Saturday, December 12, 2009

Bahagia Milikku Jua 2

Subuh menyambut ketibaannya di Pudu Raya. Suasana tidak begitu sibuk lagi. Yasmin memandang ke kiri kanan melihat penumpang lain sudah mula menaiki tangga platform. Langkah kaki diatur mengikut deretan manusia di hadapannya.

Dia pernah mengunjungi ibu kota sebelum ini, tapi serasa dirinya ibarat rusa masuk kampung. Banyak sungguh perubahan yang berlaku. Setelah tiba di tingkat atas, Yasmin duduk sebentar di bangku berhampiran tangga untuk melepaskan penat.

Gerai-gerai bertentangan bangku tempat dia duduk, hanya satu dua sahaja yang tutup. Dia perlu segera ke surau untuk mengerja solat Subuh yang semakin menginjak ke waktu syuru’.

Yasmin bangun menghampiri gerai di hujung sekali. Kelihatan seorang wanita di pertengahan umur sedang terbongkok-bongkok mencari sesuatu.

“Assalamualaikum, Makcik.” Sapa Yasmin kepada wanita itu.

‘Walaikumussalam nak. Err..nak beli barang ke? Makcik nak tutup sekejap, nak solat Subuh”. Rupa-rupanya wanita itu sedang mengambil beg telekungnya.

“Tak.., makcik boleh tak saya nak tumpang tinggal beg sekejap. Saya baru sampai. Saya pun nak ke surau tak pasti pulak arahnya. Boleh saya ikut makcik sekali?” Yasmin nekad bertanya kepada wanita di hadapannya itu.

Wanita tersebut memerhati wajah anak gadis di hadapannya. Cuba mencari riak kejujuran barangkali. “Kamu letak beg tu di belakang kotak tu. Jangan tinggal beg duit, takut hilang nanti,” akhirnya dia membalas.

Yasmin segera membuat seperti yang disuruh. Setelah mengambil dompet dan telekungnya dia melangkah bersama wanita itu ke surau.

Selesai solat Subuh, Yasmin terus berteleku di atas sejadah. Dia seperti tidak percaya yang kini dirinya berada di tengah-tengah kota metropolitan. Apa agaknya yang berlaku di kampung setelah pemergiannya? Apa jadi pada Mak Tam dan Rini? Bagaimana agaknya reaksi si tua bangka itu?? Yasmin memejamkan matanya.

“Anak ni dari mana? Nak ke mana?” tiba-tiba suara lembut menyapanya.
Pantas dia mengangkat muka merenung wanita di sebelahnya itu. Wanita peniaga gerai tadi.

“Hmm..saya dari Utara, makcik,” balasnya pendek.

“Maaf nak, nama makcik Rogayah. Kamu panggil makcik Gayah je. Siapa nama kamu?” tanya wanita itu selepas memperkenalkan dirinya.

“Saya Yasmin makcik. Saya baru tiba dari kampung. Tak tahu lagi nak ke mana” jawab Yasmin ringkas. Dia sedar jawapannya pasti mengundang kemusykilan di hati Makcik Gayah.

“Kamu lari dari rumah ke?” entah mengapa apabila terpandang wajah anak gadis di hadapannya itu, terbit perasaan bimbang dan simpati sekaligus di hati tuanya. Bukan dia tidak tahu macam-macam penipuan di kota raya ini. Tetapi apabila melihat seraut wajah di hadapannya terasa ada ketulusan di wajah itu.

Yasmin hanya mendiamkan diri sambil menahan sebak. Matanya mula bergenangan. Terasa sayu apabila ada yang sudi mengambil tahu tentang dirinya di kala dia keseorangan.

“Ceritalah nak. Jangan takut. Mana tahu makcik boleh menolong kamu,” pujuk Makcik Gayah perlahan.

“Hmm..iye makcik. Saya terpaksa lari dari kampung. Terpaksa makcik. Kalau tidak saya hidup saya akan hancur!” ujarnya sambil mengesat air mata yang mengalir di pipi.
Makcik Gayah menggosok lembut bahu Yasmin, cuba menenangkan perasaan gadis itu.
Surau mula lengang.

“Habis tu kamu nak ke mana? Ada saudara mara tak di sini?” Makcik Gayah terus bertanya apabila dilihatnya Yasmin terus mendiamkan diri.
Yasmin menggelengkan kepalanya.

“Apa kata kalau kamu ikut makcik balik. Nanti kita bincang apa perancangan kamu. Sudah..cepat lipat telekung. Kita balik rumah makcik.”

“Tak menyusahkan makcik ke? Gerai makcik macam mana? Takpe saya tunggu sampai makcik habis berniaga,” Yasmin bersuara sambil menggenggam tangan Makcik Gayah.

“Itu kamu jangan risau. Sekejap lagi anak saudara Makcik datang. Dia memang menolong makcik berniaga setiap hari. Hari ni biar dia jaga gerai makcik sorang-sorang. Dia dah biasa. Kamu jangan risau.”

Mereka berdua bergerak meninggalkan surau untuk ke gerai Makcik Gayah. Kelihatan seorang pemuda berkopiah sudahpun berada di gerai tersebut.
“Lamanya Maklong solat,” sapa anak muda itu.

“Hmm.. Haris, Maklong nak balik ni. Ada hal. Kamu jaga gerai ya hari ni,” Makcik Gayah tidak menghiraukan teguran anak saudaranya sebentar tadi.
“Kamu tolong ambil beg di belakang kotak tu. Maklong nak balik sekarang. Apa-apa hal kamu telefon Maklong ye!”.

Haris segera menghulurkan beg milik Yasmin. Walaupun, ingin tahu siapa dan apa yang berlaku, namun terasa segan pula untuk bertanya. Dia yakin maklongnya akan bercerita kemudian.

“Haris..ni Yasmin! Yasmin ni anak saudara Makcik, Haris.” Makcik Gayah memperkenalkan mereka berdua. Dia perasan dengan kerlingnan anak saudaranya. Pasti ingin tahu siapa yang dibawanya.

Yasmin memandang sekilas ke arah Haris manakala Haris pula menganggukkan kepalanya tatkala matanya berlaga pandang dengan anak mata Yasmin.
“Maklong jalan dulu ye. Jom Yasmin!”

Mereka berdua melangkah meninggalkan Hentian Pudu Raya yang semakin sibuk.



ps: ada yang bertanya tentang ayat surah Yaasin tu..ok ayat 9 dari surah Yaasin, bermula dengan "waja'alnaa..." hingga ke akhir ayat tu, pastu tambah sket dengan doa: Salamun 'ala Sulaiman fil'aalamin.