Wednesday, December 16, 2009

Bahagia Milikku Jua 4

Yasmin membuntuti Makcik Gayah melangkah masuk ke rumah teres dua tingkat sederhana besar itu. Halaman rumah kelihatan begitu kemas. Terdapat bunga-bunga orkid yang beraneka jenis bergantungan di bawah pondok khas. Terdapat kolam ikan dengan air terjun buatan yang menerbitkan suasana segar dan teduh.

Sebaik sahaja kakinya menjejaki ruang tamu rumah itu, dapat dirasakan suasana nyaman yang menyambutnya. Teringat kata arwah ibunya, rumah yang sejuk petanda tuan rumahnya orang yang bersolat.

“Duduklah dulu Yasmin. Makcik ke dapur sekejap,” ujarnya sambil meletakkan beg tangannya di atas meja kecil berhampiran tangga untuk ke tingkat atas.

Yasmin melabuhkan punggungnya di sofa berangkai dua. Beg kanvasnya diletakkan di tepi kaki sofa tersebut.

Seketika kemudian Makcik Gayah kembali semula ke ruang tamu dan duduk bersetentang dengan Yasmin.

“Kamu tentu belum mandi kan? Jom Makcik tunjukkan bilik kamu.”

Yasmin bangkit mengikut mengikut Makcik Gayah ke tingkat atas rumah tersebut.

“Rumah ni ada 4 bilik. Atas ada tiga. Satu lagi kat bawah. Tapi bilik bawah tu jadi bilik solat,” ramah Makcik Gayah bercerita sambil menuju ke tingkat atas.

Yasmin hanya diam tanpa sepatah kata.

“Ini bilik kamu. Sebelah ni bilik Aliya anak makcik dan depan tu bilik Makcik. Kamu kongsi bilik air dengan Aliya. Masuklah” ujar Makcik Gayah sambil membuka pintu bilik lebih luas lagi.

Yasmin terpaku melihat bilik yang begitu kemas. Sebuah katil kelamin dihiasi cadar beropol corak bunga halus berwarna hijau putih, terletak di tepi dinding.. Langsir scallop dari warna senada menambah seri ruang bilik sederhana besar itu. Terdapat juga sebuah almari solek berhampiran katil. “Cantik!” pujinya dalam hati.

“Kamu ada tuala Min? Takpe kan, Makcik panggil kamu Min?” tanya Makcik Gayah apabila dilihat Yasmin masih terpaku di hadapan pintu bilik.

“Err.. ada kut!” jawab Yasmin tergagap-gagap.

“Kalau takde, kamu ambil dalam almari tu.”

Baru Yasmin perasan terdapat sebuah almari kayu kecil dan rak kayu penyidai di sudut bilik itu.

“Kamu mandilah dan tukar baju dulu. Lepas tu nanti turun ke ruang makan. Makcik tunggu kat bawah. Kamu buat macam rumah sendiri. Jangan segan-segan,” ujar Makcik Gayah sambil berlalu.

Yasmin melabuhkan punggungnya di atas tilam. Tangannya membuka tudung yang dipakai sejak malam kelmarin, lalu diletakkan di atas katil. Dia kemudian mencapai beg kanvasnya dan terus dibuka untuk melihat isi dalamnya.

Dikeluarkan sehelai kain batik dan baju kurung dari beg tersebut. Meninjau lagi di dalamnya mencari tuala mandi. Jumpa. Lalu dikeluarkan. Terdapat sebuah beg kecil di dalam beg tersebut, lalu ditarik keluar. Alat mandian rupanya. Ada berus gigi, ubat gigi sabun mandi dan bedak talkum serta sikat. Teliti juga Mak Tam, fikir Yasmin. Pendek kata hampir lengkap barangan keperluannya disediakan oleh Mak Tam.

Tiba-tiba tangannya tersentuh benda keras yang terdapat di dalam beg kanvasnya. Bingkai gambar rupa-rupanya! Yasmin segera menarik keluar, lalu ditatapnya. Lama.

“Mak, mengapa mak cepat sangat tinggalkan Min. Mak, tengoklah apa dah jadi dengan Min, Mak. Sampai hati ayah buat Min macam ni..” Airmata Yasmin mengalir laju tatkala kata-kata tersebut terlafaz di bibirnya.

“Mak, doakan Min, mak. Doakan Min kuat hadapi dugaan ini. Doakan Min selamat Mak,” ujarnya sambil mengucup lembut gambar tersebut.

Bingkai gambar itu disimpan semula di dalam beg kanvasnya. Dizip dan kemudian diletak ditepi katil. Segera dia bangkit dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

Selesai mandi dan berpakaian, dia menyikat rambutnya yang mencecah pinggang itu. Membuat kusut-kusut. Kemudian disanggul rapi sebelum menyarung sehelai tudung bersih di kepala. Dia tidak tahu siapa lagi yang ada di dalam rumah itu selain Makcik Gayah.

Perlahan langkah kakinya diatur menuruni tangga menuju ke ruang makan.

0 comments: